KOTA BHARU, 9 SEPT ( Sinar Harian) – Bermula hanya dengan menjual seekor ayam goreng sehari di sebuah gerai kecil di hadapan rumah ketika pandemik Covid-19 pada 2020, Zawiah Nafi, 50, kini mampu menjual sehingga enam ekor ayam sehari dan mengembangkan perniagaannya dengan membuka sebuah kiosk.
Lebih membanggakan, hasil kegigihan membina perniagaan dari bawah, wanita itu bukan sahaja berjaya meningkatkan pendapatan keluarga, malah buat pertama kali dalam hidup mampu menunaikan zakat perniagaan.
Zawiah berkata, sebelum menceburi perniagaan ayam goreng, dia pernah mencuba pelbagai pekerjaan termasuk menjual ikan, tudung dan barangan lain, namun pendapatan yang diperoleh tidak menentu.
Keadaan itu ditambah dengan pendapatan suaminya yang bekerja sebagai buruh, menyebabkan dia perlu mencari sumber rezeki yang lebih stabil bagi menyara empat anak mereka.
“Saya mula berniaga ayam goreng pada tahun 2020 ketika pandemik Covid-19. Masa itu saya buka gerai kecil di hadapan rumah dan hanya jual seekor ayam sehari kerana modal sangat terhad.
“Lama-kelamaan pelanggan semakin ramai, saya tambah kepada dua dan tiga ekor sehari. Alhamdulillah, sekarang saya mampu menjual sehingga enam ekor ayam sehari selain mampu membayar zakat,” katanya.
Zawiah ditemui selepas Majlis Graduasi MyREF HSP 2026 di sebuah hotel di Langgar di sini pada Rabu.
Pada majlis itu, beliau menerima Anugerah Usahawan Terbaik daripada 20 peserta asnaf Kelantan yang mengikuti latihan keusahawanan selama lima bulan menerusi Program Kemahiran Hijrahpreneur MyREF (HSP).
Kesemua peserta program berkenaan turut menunaikan zakat perniagaan berjumlah keseluruhan RM4,131.45.
Menurut Zawiah, penyertaannya dalam program berkenaan menjadi titik perubahan apabila dia mula memahami aspek pengurusan perniagaan, pemasaran digital dan strategi meningkatkan jualan.
“Dulu saya berniaga tanpa ilmu pengetahuan tetapi selepas menyertai program ini, saya lebih tahu cara menguruskan perniagaan dan lebih berani untuk berkembang.
“Sekarang saya sudah membuka sebuah kiosk dan bercadang membuka lebih banyak kiosk pada masa depan. Saya juga mahu menyediakan perkhidmatan penghantaran supaya perniagaan dapat berkembang dengan lebih luas,” katanya.
Anak OKU jadi pembakar semangat
Di sebalik kejayaan mengembangkan perniagaan, Zawiah turut memikul tanggungjawab besar menjaga anak bongsunya, Muhamad Khairi Zafrey Mohd Khairudin, 12, yang menghidap Sindrom Emanuel serta mempunyai pelbagai komplikasi kesihatan.
Anaknya turut mengalami masalah jantung berlubang, pendengaran dan lelangit sumbing selain tidak boleh bertutur.
Katanya, sejak dilahirkan, keluarganya kerap berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan, malah anaknya pernah dimasukkan ke wad sehingga dua minggu.
“Dia juga masih perlu disuap ketika makan, memakai lampin pakai buang dan memerlukan perhatian sepanjang masa.
“Namun anak saya bukan beban. Sebaliknya dia menjadi pembakar semangat untuk saya terus berusaha dan memastikan dia mendapat penjagaan yang terbaik,” katanya.
Zawiah berkata, kejayaan mengubah perniagaan kecilnya kepada sumber pendapatan yang lebih stabil memberikan kepuasan yang sukar digambarkan, lebih-lebih lagi apabila dia kini mampu berkongsi rezeki dengan golongan lain.
“Saya tak pernah sangka satu hari nanti boleh menjadi pembayar zakat. Selama ini saya hanya fikir bagaimana hendak mencari rezeki untuk keluarga.
“Apabila dapat bayar zakat, saya rasa sangat bersyukur kerana ALLAH memberi peluang kepada saya berkongsi rezeki dengan orang lain,” katanya.




