KUALA LUMPUR, 9 SEPT (Berita Harian) – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Azeez Rahim yang didakwa di mahkamah, hari ini memakai pakaian lokap berwarna ungu atas kehendak sendiri.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pegawainya dan polis yang mengiringinya sudah menasihatinya untuk menukar pakaian lokap Polis Diraja Malaysia (PDRM) sewaktu hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, ahli politik berkenaan berkeras untuk kekal memakai pakaian lokap dan juga gari.
“SPRM ingin menjelaskan pemakaian baju lokap ungu PDRM dan dalam keadaan bergari membabitkan Azeez ketika hadir pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur adalah atas kehendaknya sendiri.
“Untuk makluman, sebelum dibawa ke mahkamah, beliau sudah dinasihati pegawai SPRM serta pegawai polis yang mengiringi beliau dan juga peguamnya untuk menukar kepada pakaian biasa selain menyatakan tidak perlu memakai gari.
“Bagaimanapun, beliau berkeras untuk kekal memakai pakaian lokap dan juga gari berkenaan sehingga proses pertuduhan selesai dibacakan,” kata SPRM dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru, SPRM menegaskan, pemakaian baju lokap dan gari terhadap Azeez bukan atas arahan atau kehendak mana-mana pihak, khususnya SPRM.
“SPRM meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat khususnya yang membabitkan isu ini,” katanya.




