SHAH ALAM 14 Mei – Penyedia perkhidmatan profesional rundingan dan latihan untuk usahawan, Speedoffice Sdn. Bhd melalui program sosial dilaksanakan EDC Coworking Space dan EDC Sosial Networks memperkenalkan Program Sinergi Usahawan, sebuah inisiatif khas yang menghimpunkan usahawan bagi memperkukuh jaringan perniagaan, berkongsi idea serta membina kolaborasi strategik sesama usahawan.
Ketua Pegawai Eksekutif Speedoffice, Haji Norlukmal Mat Ghani berkata, program membabitkan usahawan dari Selangor dan Lembah Klang secara bulanan itu diadakan pada setiap hari Rabu minggu ketiga setiap bulan bertempat di Tingkat 5 dan 6, Bangunan Kumpulan Muara, di sini.
Katanya, dengan motto berkongsi, berinovasi dan berjaya bersama, Sinergi Usahawan memberi fokus kepada pembangunan usahawan dari pelbagai lapisan termasuk syarikat pemula dan mengembangkan perniagaan menerusi sesi networking dan perkongsian pengalaman dalam suasana santai serta profesional.
Katanya, setiap sesi melibatkan antara lima hingga tujuh usahawan yang akan diberikan peluang membentangkan idea, produk, perkhidmatan dan syarikat masing-masing secara ringkas, menarik dan meyakinkan kepada peserta lain.
“Pendekatan itu bertujuan membantu usahawan memperluaskan rangkaian, meningkatkan keyakinan serta membuka peluang kerjasama perniagaan baharu.
“Selain sesi networking, program berkenaan turut menjadi platform kepada pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama usahawan yang berpotensi untuk menjalinkan kerjasama strategik.

Norlukmal berkata, pada edisi kali ini, pihaknya turut menandatangani MoU bersama syarikat ViralNiaga bagi memperkukuh kolaborasi dalam menyediakan platform jualan dan pemasaran kepada usahawan, khususnya menerusi inisiatif Voucher Niaga.
Katanya, turut menandatangani MOU Adalah usahawan berasaskan air, Datuk Suhaili dan usahawan perniagaan fizikal seperti jual beli emas, rangkaian kelas tadika dan kafe, Tuan Meor.
Tambahnya, semua peserta yang menyertai program tersebut turut menggunakan platform ViralNiaga dalam memperkukuh serta mengembangkan perniagaan masing-masing.




