KUALA LUMPUR, 24 OKT ( Berita Harian) – Kira-kira satu daripada empat rakyat Malaysia berusia 25 hingga 44 tahun menangguhkan atau memutuskan untuk tidak berkahwin, mengadakan majlis perkahwinan atau menimang anak pertama disebabkan faktor kewangan.
Dapatan Tinjauan Celik Kewangan Malaysia (RMFLS) 2026 oleh RinggitPlus menunjukkan 24.3 peratus responden dalam kumpulan umur berkenaan berdepan situasi itu dalam tempoh lima tahun lalu dengan peratusan lebih tinggi dalam kalangan mereka yang berusia 25 hingga 34 tahun iaitu 28.9 peratus.
Sebaliknya, peratusan bagi responden berusia 35 hingga 44 tahun adalah 19.1 peratus.
Dapatan itu menggambarkan kekangan kewangan mempengaruhi keputusan penting dalam kehidupan khususnya berkaitan perkahwinan dan perancangan keluarga.
Mengikut kumpulan pendapatan peribadi, 25.8 peratus responden berusia 25 hingga 44 tahun yang memperoleh RM2,000 hingga RM4,999 sebulan menyatakan faktor kewangan mempengaruhi keputusan berkenaan.
Ia diikuti 23.1 peratus bagi mereka yang berpendapatan RM5,000 dan ke atas, manakala 22.8 peratus bagi kumpulan berpendapatan bawah RM2,000.
Dalam perkembangan berkaitan, tinjauan itu mendapati 63 peratus responden memberikan wang kepada ibu bapa atau ibu bapa mentua, dengan 32 peratus berbuat demikian setiap bulan dan 30.9 peratus secara sekali-sekala.
Dalam kalangan responden berpendapatan peribadi bawah RM2,000, 51.4 peratus memberikan wang kepada ibu bapa atau ibu bapa mentua, termasuk 18.5 peratus yang berbuat demikian setiap bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Yuen Tuck Siew, berkata dapatan tahun ini menunjukkan kaitan rapat antara kedudukan kewangan, tanggungjawab keluarga dan perancangan masa depan rakyat Malaysia.
Beliau berkata, jurang simpanan yang semakin melebar antara golongan berpendapatan peribadi bawah RM2,000 dengan kumpulan pendapatan lain juga wajar diberikan perhatian.
“Pendidikan kewangan perlu bersifat praktikal dan mudah diakses supaya rakyat Malaysia dapat menerapkan pengetahuan mereka dalam keputusan harian yang membantu mereka membuat persediaan dengan lebih baik,” katanya.
Tinjauan dalam talian itu membabitkan 3,005 rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dan dijalankan dari 28 September hingga 11 Oktober 2026.




