KUALA LUMPUR, 24 OKT ( Berita Harian) – Peruntukan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam Belanjawan 2027 dijangka memberi limpahan manfaat kepada rangkaian peruncitan barangan keperluan dan harga berpatutan khususnya 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Speed Mart) dan Eco-Shop Marketing Bhd (Eco-Shop).
Menurut RHB Investment Bank Bhd, peningkatan peruntukan bantuan berkenaan bersama langkah cukai pendapatan individu dijangka membantu mengekalkan perbelanjaan isi rumah dan menyokong prospek pertumbuhan pendapatan sektor pengguna pada tahun kewangan 2027.
Bank pelaburan itu berkata, walaupun jumlah bantuan berulang bagi kebanyakan isi rumah secara umumnya tidak banyak berubah, peningkatan komponen SARA akan menyalurkan lebih banyak peruntukan kepada pembelian barangan keperluan yang layak.
Katanya, keadaan itu dijangka memanfaatkan rangkaian peruncitan yang mengambil bahagian dalam program berkenaan termasuk 99 Speed Mart, Eco-Shop dan MR DIY Group (MR DIY) menerusi peningkatan jualan di cawangan sedia ada.
“Peningkatan jualan melalui rangkaian kedai sedia ada berpotensi meningkatkan kecekapan penyerapan kos tetap, sekali gus membantu mengimbangi tekanan kos operasi, khususnya perbelanjaan berkaitan tenaga kerja.
“Peluasan manfaat SARA dan bantuan sekali bayar sempena perayaan dijangka dapat menyokong pembelian pengguna, manakala kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 berpotensi meningkatkan lagi pendapatan boleh guna isi rumah,” katanya dalam satu nota penyelidikan yang disediakan oleh penganalisis, Soong Wei Siang dan Aidil Puzi.
Peruncit barangan keperluan dan produk bernilai rendah mempunyai kedudukan lebih baik untuk meraih manfaat berikutan pangkalan pelanggan mereka banyak terdiri daripada golongan berpendapatan rendah hingga sederhana.
Sementara itu, RHB Investment Bank berkata, perubahan utama bukan semata-mata peningkatan jumlah peruntukan dalam Belanjawan 2027, sebaliknya perubahan komposisi bantuan dengan bahagian SARA yang lebih besar bagi isi rumah berpendapatan di bawah RM2,500, diimbangi pengurangan komponen STR.
Menurutnya, bagi kategori isi rumah berpendapatan bulanan di bawah RM2,500, jumlah bantuan tahunan kekal antara RM2,000 hingga RM3,400 bergantung kepada bilangan anak, manakala komponen SARA meningkat kepada RM1,800 berbanding RM1,200 pada 2026.
Katanya, perubahan itu dijangka mengarahkan lebih banyak perbelanjaan penerima kepada barangan keperluan yang layak, sekali gus menyokong peruncit barangan runcit dan keperluan harian.
“Selain itu, SARA MADANI sebanyak RM200 bagi setiap orang dewasa pada 2027, melalui dua bayaran RM100 masing-masing sekitar Aidilfitri dan Hari Kebangsaan, dijangka membantu meningkatkan kunjungan pengguna ke premis peruncitan ketika tempoh berkenaan.
“Peluasan SARA kepada 216 lokasi Pasar Tani atau Tamu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), selain sasaran meningkatkan jumlah kedai runcit kecil yang mengambil bahagian kepada 10,000 berbanding 6,800 ketika ini.
“Pada masa sama, kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan, berkuat kuasa Jun 2027, dijangka meningkatkan kuasa beli golongan berpendapatan rendah, sekali gus menyokong permintaan terhadap barangan keperluan dan produk berharga berpatutan,” katanya.
RHB Investment Bank bagaimanapun turut mengingatkan bahawa kenaikan gaji itu turut meningkatkan kos operasi peruncit, terutama syarikat yang mempunyai kebergantungan lebih tinggi kepada pekerja bergaji rendah.
Berdasarkan analisis sensitiviti bank pelaburan itu, peningkatan lima peratus dalam jumlah kos gaji secara setahun penuh, dengan andaian faktor lain tidak berubah, boleh mengurangkan pendapatan syarikat sebanyak 4.9 peratus bagi 99 Speed Mart, 5.3 peratus bagi Eco-Shop dan 3.9 peratus bagi MR DIY.
Sehubungan itu, ia menyatakan peruncit perlu meningkatkan kecekapan operasi, termasuk melalui pengurusan jadual kerja, struktur insentif, automasi dan pendigitalan, bagi mengawal kos tanpa terlalu bergantung kepada kenaikan harga yang boleh menjejaskan permintaan.




