KUALA LUMPUR,29 SEPT – Kerajaan disaran memperluas peranan syarikat milik Malaysia yang beroperasi di luar negara sebagai penghubung bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Enescorp International LLC, Norizan Sharif, berkata syarikat tempatan yang sudah lama bertapak di pasaran luar mempunyai kelebihan dari segi pengetahuan pasaran, rangkaian perniagaan serta hubungan dengan pembeli yang boleh dimanfaatkan untuk membantu lebih banyak PKS Malaysia berkembang di peringkat global.
Katanya, Bajet 2027 boleh menjadi platform untuk memperkukuh pendekatan itu dengan menyediakan peruntukan khusus kepada agensi pembangunan keusahawanan bagi melantik syarikat milik Malaysia yang mempunyai kepakaran dan rangkaian kukuh di pasaran strategik luar negara.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan Program Rakan Pembangunan Pasaran Global (Global Market Development Partner Programme) bagi membolehkan syarikat terbabit membantu PKS Malaysia membangunkan pasaran secara lebih tersusun dan berterusan.
“Banyak syarikat milik Malaysia sudah bertahun-tahun membina perniagaan, rangkaian tempatan, memahami selok-belok pasaran serta menjalin hubungan dengan bakal pembeli.
“Mereka bukan sahaja memahami keperluan syarikat Malaysia, malah tahu bagaimana pasaran di negara tempat mereka beroperasi,” katanya.
Norizan berkata, beberapa agensi kerajaan pada masa ini sudah mempunyai kerjasama dengan syarikat milik Malaysia di luar negara, justeru pendekatan berkenaan wajar diperluaskan secara lebih sistematik.
Menurutnya, syarikat yang dipilih sebagai rakan pembangunan pasaran perlu mempunyai operasi yang kukuh di negara sasaran, rangkaian pembeli dan industri yang luas, pengetahuan pasaran secara langsung serta rekod prestasi yang meyakinkan.
Mereka juga perlu berupaya memberikan sokongan secara berterusan kepada PKS, bukan sekadar membantu ketika misi perdagangan atau program padanan perniagaan.
“Pembangunan pasaran bukan sekadar menguruskan acara. Misi perdagangan, pameran dan sesi padanan perniagaan memang boleh membuka pintu, tetapi selepas itu masih banyak kerja yang perlu dilakukan.
“Hubungan dengan pembeli perlu dibina, saluran pengedaran perlu diwujudkan dan minat awal perlu diterjemahkan kepada perniagaan yang berterusan,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran rakan kongsi tempatan di pasaran luar negara juga membolehkan PKS memperoleh maklumat yang lebih tepat mengenai permintaan sebenar pengguna dan pembeli.
Keadaan itu penting kerana saiz sesebuah pasaran tidak semestinya menjamin produk Malaysia mempunyai permintaan di negara berkenaan.
“Pasaran yang bernilai berbilion dolar tidak semestinya bermaksud ada permintaan terhadap produk kita. Kita perlu tahu apa yang sebenarnya dicari pembeli dan kemudian memadankannya dengan syarikat serta produk Malaysia yang sesuai,” katanya.
Norizan berkata pengalaman Enescorp di Amerika Syarikat (AS) antara contoh yang menunjukkan bagaimana pendekatan itu boleh dilaksanakan.
Syarikat milik Malaysia yang berpangkalan di Pennsylvania itu setakat ini telah membantu mendaftarkan 51 syarikat Malaysia dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA), selain membantu syarikat terbabit memasuki serta membangunkan pasaran negara itu.
Enescorp turut mempunyai keahlian dalam Specialty Food Association dan Greater Lehigh Valley Chamber of Commerce.
Menerusi program soft-landing yang ditawarkan, syarikat itu menyediakan pelbagai bentuk sokongan kepada syarikat Malaysia termasuk pemahaman pasaran, pematuhan peraturan, persediaan memasuki sektor runcit, logistik, pelepasan kastam, pergudangan dan pemasaran.
Dalam pada itu, Norizan berkata persepsi bahawa pasaran AS terlalu sukar untuk ditembusi oleh syarikat Malaysia juga perlu dilihat dalam konteks yang lebih tepat.
Katanya, bagi kebanyakan produk makanan dan barangan pengguna, proses kemasukan ke pasaran AS lebih menjurus kepada pematuhan keperluan kawal selia berbanding mendapatkan kelulusan awal produk.
“Berbanding sesetengah negara di Asia yang memerlukan kelulusan produk sebelum ia boleh dipasarkan, syarikat secara amnya boleh memasuki pasaran AS selepas memenuhi keperluan kawal selia yang ditetapkan.
“Ini bermakna proses kawal selia untuk memasuki pasaran boleh menjadi lebih singkat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa memenuhi keperluan kawal selia hanyalah langkah pertama dan kejayaan sebenar bergantung kepada keupayaan syarikat membina pasaran selepas produk berada di negara sasaran.
Dalam hal itu, katanya, rakan kongsi yang mempunyai pengalaman serta jaringan kukuh di pasaran tempatan boleh membantu PKS menangani cabaran pada peringkat seterusnya.
Norizan berkata cadangan berkenaan juga mempunyai pendekatan berbeza berbanding beberapa inisiatif sedia ada seperti Market Development Grant dan Export Acceleration Programme yang lebih memberi tumpuan kepada pengeluar.
Sebaliknya, program baharu itu akan memberi penekanan kepada pembentukan rangkaian rakan pembangunan pasaran di luar negara yang boleh menghubungkan PKS Malaysia secara terus dengan pembeli dan pemain industri tempatan.
Beliau turut mencadangkan kerajaan meneliti semula dasar pembiayaan dan perolehan yang mungkin menyukarkan agensi kerajaan mendapatkan khidmat syarikat milik Malaysia yang diperbadankan di luar negara.
Menurutnya, sokongan kepada syarikat berkenaan tidak seharusnya dilihat hanya berdasarkan sama ada mereka membayar cukai di Malaysia, tetapi berdasarkan sumbangan yang boleh diberikan kepada syarikat tempatan.
“Jika syarikat milik Malaysia di luar negara berjaya membantu PKS mendapatkan pembeli dan meningkatkan eksport, kesannya boleh dirasai di dalam negara.
“Pengeluaran boleh meningkat, tempahan kepada pembekal tempatan bertambah, lebih banyak pekerjaan dan pendapatan dapat diwujudkan untuk rakyat Malaysia, selain merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat tempatan,” katanya.
Norizan berkata, pada masa ini syarikat milik Malaysia di luar negara masih menerima sokongan pembangunan kapasiti yang terhad dan kebanyakannya perlu membangunkan sendiri keupayaan untuk mengembangkan pasaran.
“Jika kita mahu mereka memainkan peranan ini dengan lebih berkesan, kita juga perlu membantu memperkukuh keupayaan mereka,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa cadangan itu bukan untuk mengambil alih fungsi agensi kerajaan atau menggantikan program pembangunan eksport sedia ada, sebaliknya melengkapkan usaha berkenaan dengan memanfaatkan rangkaian syarikat Malaysia yang sudah bertapak di pasaran luar negara.




