KAMPAR,28 SEPT ( Sinar Harian) – Seorang wanita ditahan polis selepas dipercayai menikam ibunya sehingga maut dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Wang, Menglembu dekat sini pada Ahad.
Dalam kejadian sekitar jam 7 malam itu, mangsa berusia 70 tahun ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian dengan kesan tikaman di dada.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, laporan kes itu diterima daripada menantu mangsa sebelum tangkapan terhadap suspek berusia 49 tahun dibuat tidak lama selepas kejadian.
Menurutnya, mangsa yang berada dalam keadaan terlantar difahamkan baru sahaja diambil pulang dari sebuah pusat jagaan warga emas di Pusing untuk dijaga di rumah.
“Pihak polis dimaklumkan ketika kejadian hanya suspek dan mangsa berada dalam rumah sebelum wanita itu ditemui dengan kesan tikaman di bahagian dada.
“Senjata dipercayai digunakan dalam kejadian itu iaitu sebilah pisau telah dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini pada Isnin.
Beliau berkata, siasatan awal dijalankan polis mendapati, suspek mempunyai rekod psikiatri.
Katanya, polis akan mendapatkan laporan lanjut daripada pihak hospital berhubung keadaan kesihatan mental suspek bagi membantu siasatan.
“Suspek telah direman sehingga 4 Oktober ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.




