PUCHONG, 12 OGOS (Berita Harian) – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan awal bulan ini menyaksikan sebahagian ahli parti diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menyertai Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).
Beliau yang juga pengasas BERSAMA berkata, keadaan itu sekali gus menyumbang kepada peningkatan mendadak keahlian parti berkenaan yang didakwanya kini kira-kira 29,200 ahli selepas hampir tiga bulan dilancarkan.
“Sebanyak 25 peratus daripada mereka bekas anggota PKR, kira-kira 15 peratus lagi bekas anggota parti politik lain, termasuk UMNO, PAS dan BERSATU. Selebihnya, kira-kira 60 peratus individu tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini.
“Bekas ahli DAP pula tidak sampai satu peratus,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat BERSAMA, di sini hari ini yang turut dihadiri pengasas bersama BERSAMA, Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas Ahli Parlimen PKR Subang, Wong Chen.
Rafizi berkata, perkembangan semasa menunjukkan sokongan terhadap BERSAMA bukan hanya datang daripada bekas anggota PKR, sebaliknya turut membabitkan individu yang sebelum ini tidak mempunyai latar belakang kepartian.
Katanya, BERSAMA menjangkakan jumlah keahlian parti akan melepasi 30,000 hujung minggu ini.
“masa ini, pertambahan keahlian sekitar 500 orang sehari dan momentum ini perlu dikekalkan menerusi kempen keahlian yang berterusan,” katanya menambah BERSAMA memerlukan masa untuk meminda perlembagaan parti sebelum pemilihan kepimpinan dapat dilaksanakan.
Pada masa sama, katanya, parti itu juga sedang memperluaskan struktur dan operasinya bagi memastikan pelbagai urusan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun.
“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada Nik Nazmi dan saya. Sebab itu kita sudah mempunyai tujuh jurucakap bagi memperkukuhkan perjalanan dan urusan parti.
“Mereka bukan hanya bercakap kepada media atau orang ramai, tetapi yang paling penting ialah menyampaikan maklumat dan pendirian kepada ahli BERSAMA bagi pihak pengurusan dan parti,” katanya.
Terdahulu Rafizi mengumumkan tujuh individu yang akan menjadi jurucakap BERSAMA, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani.




