KOTA BHARU, 12 OGOS – Kerajaan negeri Kelantan sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 bagi menggantikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) (I) 2019 susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2024 membatalkan 16 peruntukan dalam enakmen berkenaan.
RUU berkenaan dibentangkan Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam dan dibahaskan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Penggulungan RUU pada hari ini dijalankan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan timbalannya.
RUU berkenaan mengandungi 62 fasal serta satu jadual yang berkaitan kesalahan takzir dan hukuman di bawah hukum syarak yang diluluskan selepas bacaan kali ketiga.
Mohd Nassuruddin dalam penggulungannya berkata, RUU berkenaan adalah satu naskah perundangan yang diberi nilai tambah dengan penuh ketelitian dan melalui pelbagai peringkat sehinggalah di bawa ke Dewan Persidangan.
Beliau berkata, keistimewaan RUU itu terletak pada pembugarannya yang berpaksikan Maqasid Syariah, di mana setiap peruntukan kesalahan disusun rapi demi memastikan setiap denyut perundangan selari dengan objektif syariat Islam.
“Pendekatan itu bukanlah suatu langkah yang asing kerana ia adalah roh yang sedia wujud dalam EKJS (1) 2019 dan ia diperkemas serta diperkukuh susunan supaya tampil lebih sistematik, lebih jelas dan lebih berwibawa.
“Kesalahan syariah berhubung penjagaan agama, kita mahu rakyat Kelantan terpelihara akidahnya daripada perkara berkaitan dengan 11 fasal yang disenaraikan seperti khurafat, membuat dakwaan palsu berkaitan agama, terpelihara dari percubaan keluar agama, tidak memperlekeh ajaran atau
syiar agama, tidak mengkafirkan sesama Islam termasuk tidak mengabaikan akidah anak-anak atau kanak-kanak di bawah jagaan.
“Kesalahan syariah berkaitan penjagaan diri dan maruah, kita mahu rakyat Kelantan selamat dari pengaruh budaya songsang komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang semakin dinormalkan dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, bagi penjagaan akal dan pengambilan minuman memabukkan, kerajaan tidak mahu akal rakyat negeri itu dibiarkan rosak serta hanyut dengan pengaruh bahan yang memabukkan.
Katanya, bagi menjaga keturunan dan nasab, kerajaan tidak mahu institusi kekeluargaan terus punah dan runtuh disebabkan zina, khalwat dan juga tuduhan melakukan zina.
Media sebelum ini melaporkan, Mahkamah Persekutuan pada Mac 2024 mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.




