ARAU, 17 OKT ( Berita Harian) – PAS sedia memberikan keutamaan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) berbanding parti politik lain dalam sebarang urusan rundingan kerjasama menjelang pilihan raya umum akan datang.
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, ketetapan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Syura Ulama yang dipengerusikannya baru-baru ini, yang membenarkan kepimpinan PAS Pusat berunding dengan mana-mana parti, namun keutamaan diberikan kepada UMNO.
Beliau berkata, Majlis Syura berpandangan bukan mudah untuk mendamaikan hubungan antara PAS dan UMNO. Justeru, apabila ruang perpaduan itu semakin menjadi kenyataan, ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
“PAS hendak muafakat dengan sesiapa sekalipun, jangan tinggalkan UMNO.
“Perpaduan antara PAS dan UMNO ini perlu dipertahankan dengan keutamaan rundingan adalah bersama mereka berbanding parti lain,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.
Hashim berkata, perpaduan antara PAS dan UMNO perlu meletakkan kepentingan Melayu dan Islam sebagai agenda utama, bukannya sekadar percaturan politik.
Katanya, perpaduan yang dibina demi kepentingan dan kelangsungan politik semata-mata sudah pasti akan menemui kegagalan.
“Gagasan Muafakat Nasional (MN) sebelum ini adalah asas, dan sekarang sudah tiba masanya perpaduan dua parti ini disuburkan semula.
“Dalam UMNO kini juga kita menyaksikan kesedaran berkaitan kepentingan penyatuan ini semakin tinggi,” katanya.
Beliau berkata, PAS juga lebih selesa menjalinkan kerjasama dengan UMNO berbanding parti lain dan perpaduan antara dua parti teras Melayu Islam itu sememangnya dinantikan oleh rakyat.
Sementara itu, menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Hashim berkata, PAS sedia menggunakan logo sendiri sekiranya Perikatan Nasional (PN) tidak boleh bertanding atas lambang gabungan berkenaan.
Katanya, tidak menjadi masalah sekiranya PAS menggunakan logo sendiri dan parti-parti lain turut menggunakan lambang masing-masing.
“PAS guna logo sendiri, dan UMNO atau BN guna lambang sendiri, namun kita tetap menjalinkan kerjasama dalam PRN itu. PAS adalah parti yang cukup lama dan boleh dikatakan semua orang mengenali lambang bulan.
“Tidak ada sebarang masalah berkaitan isu logo dan PAS juga bersedia berdepan dengan sebarang kemungkinan dalam menghadapi PRN Melaka.
“Dalam soal pengagihan kerusi pula, terserah kepada kepimpinan PAS Pusat untuk menentukan sama ada ingin mengorbankan kerusi kita atau sebaliknya. Apa yang lebih penting, sebarang keutamaan adalah rundingan bersama UMNO,” katanya.




