KUALA LUMPUR, 2 OGOS ( Berita Harian) – Dewan Muslimat PAS (DMPM) menyifatkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai bukti strategi penyatuan ummah dicetuskan Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang terus relevan dan berupaya mempengaruhi corak sokongan politik negara.
Ketua DMPM, Nuridah Salleh, berkata keputusan itu perlu dinilai secara jujur dan objektif kerana kerjasama yang dibina berasaskan titik persamaan mampu meningkatkan daya saing politik dan menawarkan pilihan lebih kukuh kepada rakyat.
“Di sebalik pelbagai naratif yang cuba dibina oleh pihak tertentu, hakikat strategi penyatuan ummah terus membuktikan bahawa ia bukan sekadar slogan politik, tetapi satu gagasan yang mempunyai kesan besar terhadap landskap politik negara.
“Gagasan penyatuan ummah yang dicetuskan Presiden PAS apabila beliau melihat jauh melangkaui kepentingan sempit parti politik dengan meletakkan kepentingan Islam, penyatuan umat serta kestabilan negara sebagai keutamaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menang 25 kerusi mengatasi angka dua pertiga, 24 daripada 36 kerusi keseluruhan Dewan Undangan Negeri (DUN) PRN Negeri Sembilan, semalam.
Daripada jumlah kerusi dimenangi itu, BN menang 18 kerusi manakala PN tujuh kerusi dan Pakatan Harapan (PH)11 kerusi.
Pada PRN 2023, BN menang di 14 kerusi DUN, PH (17 kerusi) sementara PN menang di lima kerusi DUN.
Nuridah berkata, analisis jujur dan objektif itu perlu berikutan masih ada yang terperangkap dalam politik permusuhan sesama umat Islam.
“Dalam keadaan masih wujud politik permusuhan sesama umat Islam, Abdul Hadi mengemukakan pendekatan yang lebih jauh pandang dengan meletakkan kepentingan Islam, penyatuan umat dan negara mengatasi kepentingan politik sempit.
“Sejarah membuktikan strategi ini mengubah landskap politik negara sehingga menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020, selain menyaksikan beberapa tokoh politik yang sebelum ini dianggap kebal berjaya ditewaskan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan terbabit turut menyaksikan beberapa tokoh politik yang sebelum ini dianggap kebal berjaya ditewaskan, di samping kubu-kubu kuat lawan tidak lagi kekal utuh seperti yang pernah didakwa.
“PRN Negeri Sembilan memperlihatkan kerjasama yang berasaskan titik persamaan mampu meningkatkan daya saing politik dan menawarkan pilihan yang lebih kukuh kepada rakyat.
“Ini adalah bukti politik matang yang mengutamakan kepentingan agama, rakyat dan negara mempunyai tempat dalam hati pengundi.
“Justeru, adalah tidak wajar jasa dan kebijaksanaan strategi ini dipadamkan daripada sejarah. Tokoh yang mencetuskan gagasan sebesar ini sewajarnya diberikan pengiktirafan yang setimpal,” katanya.
Katanya, Abdul Hadi memperkenalkan satu pendekatan yang meninggalkan kesan besar terhadap politik Malaysia melalui gagasan Penyatuan Ummah.
Di samping itu, katanya, DMPM ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada seluruh jentera dari seluruh negara yang telah membantu dalam gerak kerja kempen.
“Kami juga ingin menggesa seluruh ahli dan pendukung supaya terus memperkukuhkan semangat penyatuan, memperluaskan kerjasama yang membawa manfaat kepada rakyat, serta menolak politik kebencian yang hanya menguntungkan pihak-pihak tertentu.
“Penyatuan bukan bererti mengorbankan prinsip, tetapi mengangkat kepentingan Islam dan negara mengatasi kepentingan politik yang sempit,” katanya.




