KUALA LUMPUR, 4 OKT ( Berita Harian) – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan mengadakan sidang media esok, berhubung isu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung perkhidmatan My EG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd, kedua-duanya di bawah kumpulan MYEG, sebagai ejen kutipan jabatan itu.
Sidang media itu akan diadakan di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya jam 11 pagi esok.
Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung perkhidmatan kedua-dua syarikat di bawah kumpulan MYEG itu yang juga sebagai ejen kutipan jabatan terbabit berkuat kuasa esok.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepatuhan terhadap terma dan syarat perjanjian serta tanggungjawab yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat itu.
Susulan keputusan itu, Aedy memaklumkan semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran Kumpulan MYEG juga akan digantung.
Langkah penggantungan itu menyusul selepas Kementerian Pengangkutan mengesahkan kepada portal berita perniagaan The Edge bahawa Zetrix AI terhutang lebih RM200 juta tunggakan hasil yang belum diserahkan kepada kerajaan.
Jumlah itu membabitkan wang yang dikutip daripada pelanggan bagi urusan pembaharuan cukai jalan, pembaharuan lesen memandu dan pembayaran saman trafik.
Akhbar The Straits Times yang memetik dokumen rasmi melaporkan tunggakan kutipan yang belum diserahkan itu dikesan sejak bermulanya kontrak tiga tahun Zetrix AI bersama JPJ pada Mei 2023.
Zetrix AI sebelum ini dikenali sebagai MYEG Services Bhd. Syarikat berkenaan menyediakan perkhidmatan dalam talian kerajaan termasuk perkhidmatan berkaitan JPJ sejak 2000.



