KUANTAN, 6 SEPT ( Berita Harian) – Sembilan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menyertai program Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 termasuk yang meninggal dunia semalam, masing-masing mengalami kesukaran bernafas ketika menyertai acara itu Jumaat lalu.
Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh pada 2.08 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata dua pelajar masih dirawat di ICU HoSHAS, manakala enam lagi menerima rawatan di Hospital Jengka.
Mereka dilaporkan dalam keadaan stabil.
Menurut beliau, siasatan mendapati sembilan pelajar berkenaan membabitkan lima lelaki dan empat wanita mengadu mengalami kesukaran bernafas ketika menyertai acara itu di kampus UiTM Jengka kira-kira jam 9.57 malam sebelum dibawa ke Hospital Jengka untuk mendapatkan rawatan.
“Seorang pelajar lelaki dari UiTM Seremban, Negeri Sembilan berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami penurunan paras oksigen teruk sebelum dirujuk ke HoSHAS. Dia meninggal dunia ketika menerima rawatan di ICU hospital berkenaan semalam.
“Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh menerima makluman mengenai kematian pelajar itu daripada HoSHAS pada jam 5.50 petang semalam sebelum memaklumkan perkara berkenaan kepada Bilik Gerakan IPD Maran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kim Wai berkata, bedah siasat dijalankan di Unit Forensik HoSHAS lewat malam semalam dan keputusannya masih menunggu analisis makmal.
Sementara itu, beliau memaklumkan dua peserta dimasukkan ke ICU HoSHAS semalam selepas mengalami penurunan paras oksigen dan kini berada dalam keadaan stabil.
“Enam pelajar sedang menerima rawatan di Hospital Jengka. Mereka dalam keadaan stabil dan masih di bawah pemerhatian,” katanya.
Kim Wai berkata, hasil siasatan mendapati kampus UiTM Pahang di Jengka menjadi lokasi penganjuran acara duathlon KKEC disertai 521 peserta dari cawangan UiTM seluruh negara, kecuali Sarawak.
Pertandingan ketahanan pelbagai sukan itu merangkumi larian sejauh 8 kilometer, acara berbasikal sejauh 20 kilometer dan acara ketahanan berpasukan Mara Lasak sejauh 10 kilometer.
Fadhlan Fakhry, yang mewakili UiTM Negeri Sembilan dalam pertandingan berkenaan, adalah pelajar tahun akhir diploma di kampus UiTM Seremban.
Bapanya, yang menuntut jenazah Fadhlan Fakhry di HoSHAS hari ini, berkata anaknya itu pernah menyertai dua edisi KKEC sebelum ini dan berada dalam keadaan sihat sebelum menyertai pertandingan tahun ini.




