JAKARTA,14 OKT (Reuters): Niaga hadapan minyak sawit Malaysia meningkat bagi sesi ketiga berturut-turut pada Rabu, disokong harga minyak mentah yang lebih kukuh serta kenaikan minyak makan saingan di pasaran Dalian.
Kontrak penanda aras minyak sawit bagi penghantaran Disember di Bursa Malaysia Derivatives meningkat RM51, atau 1.09 peratus, kepada RM4,733 satu tan metrik menjelang rehat tengah hari.
“FCPO menjejaki prestasi Dalian dan harga minyak mentah hari ini,” kata seorang pedagang yang berpangkalan di Kuala Lumpur.
Harga minyak meningkat pada Rabu selepas dua kapal terkena projectil di Selat Hormuz, manakala pegawai Iran memaklumkan kepada Reuters bahawa Tehran menggunakan taktik baharu untuk menyasarkan kapal.
Langkah itu dilaporkan dilaksanakan ketika Iran berusaha mengekalkan harga minyak pada paras tinggi dan mempengaruhi pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat.
Niaga hadapan minyak mentah yang lebih kukuh menjadikan minyak sawit pilihan lebih menarik sebagai bahan mentah untuk pengeluaran biodiesel.
Kontrak minyak soya paling aktif di Dalian meningkat 0.89 peratus, manakala kontrak minyak sawitnya naik 1.07 peratus.
Harga minyak soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) pula meningkat 0.18 peratus.
Harga minyak sawit lazimnya menjejaki pergerakan minyak makan saingan kerana komoditi itu bersaing untuk menguasai bahagian pasaran minyak sayuran global.
Stok minyak sawit Malaysia melonjak kepada 3.51 juta tan metrik pada September apabila pengeluaran mencatat paras tertinggi dalam sejarah.
Jumlah itu melebihi jangkaan pasaran dan mencapai paras yang sebelum ini dianggap sukar berlaku.
Juruukur kargo menganggarkan eksport produk minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1 hingga 10 Oktober meningkat antara 33.5 hingga 37.7 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Ringgit yang menjadi mata wang perdagangan minyak sawit mengukuh 0.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat, sekali gus menjadikan komoditi itu sedikit lebih mahal bagi pembeli yang menggunakan mata wang asing.
Penganalisis teknikal Reuters, Wang Tao, berkata minyak sawit berkemungkinan menguji semula paras rintangan RM4,766 satu tan metrik.
Penembusan melepasi paras berkenaan boleh membuka ruang kepada kenaikan dalam julat RM4,799 hingga RM4,820 satu tan.




