Tuesday, 27 October 2026
  • Tentang Kami
  • Pengiklanan
  • Hubungi
BisPointAsia
  • Terkini
  • Semasa
  • SME Bisnes
  • Ekonomi Islam
  • Pendapat
  • Minda Jutawan
  • Video
  • Khas
No Result
View All Result
BisPointAsia
  • Terkini
  • Semasa
  • SME Bisnes
  • Ekonomi Islam
  • Pendapat
  • Minda Jutawan
  • Video
  • Khas
No Result
View All Result
BisPointAsia
Home Khas

Agihan kerusi, siapa PM tentukan hayat kerjasama UMNO-PAS

Zailani by Zailani
30 Sep 2026
in Khas
0
Agihan kerusi, siapa PM tentukan hayat kerjasama UMNO-PAS
0
SHARES
10
VIEWS
Share on FacebookShare on Twitter

KEHADIRAN pemimpin UMNO dan PAS dalam mesyuarat agung tahunan masing-masing bukan sekadar protokol politik biasa. Ini kerana kedua-dua parti yang pernah bersekutu melalui Muafakat Nasional, tetapi ‘berpecah’ dan berada dalam blok politik berbeza, akhirnya memilih kembali duduk di ruang sama.

Malah, Ucapan Dasar Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, boleh disimpulkan sebagai ruang kerjasama mempunyai potensi, tetapi memiliki cabaran tertentu terutama apabila UMNO dan PAS berkongsi segmen pengundi sama.

Related posts

Rupiah jatuh menghampiri paras terendah dalam sejarah, pasaran saham merosot

Rupiah jatuh menghampiri paras terendah dalam sejarah, pasaran saham merosot

26 Oct 2026
Wanita Malaysia jatuh lubang 10 meter di Vietnam

Wanita Malaysia jatuh lubang 10 meter di Vietnam

25 Oct 2026

Dalam sistem pilihan raya satu pusingan, pertembungan dua parti berebut kelompok pengundi sama boleh menyebabkan undi berpecah dan membuka ruang kepada pihak ketiga seperti berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, kehadiran PAS pada Persidangan Agung UMNO (PAU) dan UMNO di Muktamar Agung Tahunan PAS ialah pembinaan semula kepercayaan sebelum perbincangan lebih substantif mengenai kerjasama pilihan raya. Bagi UMNO, Ahmad Zahid masih berhati-hati dalam membuka ruang kerjasama, manakala PAS pula mengangkat agenda penyatuan ummah dan kerjasama dengan parti itu, tetapi menegaskan kepentingannya mempertahankan kerusi dimenangi pada PRU15.

Di sinilah isyarat kerjasama bertemu dengan realiti tawar-menawar kuasa. Keputusan Pilihan Raya Negeri (Johor) dan Negeri Sembilan menjadikan persoalan ini semakin penting. Di Johor, Barisan Nasional (BN) menang 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lapan kerusi. Di Negeri Sembilan pula, BN memenangi 18 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) mendapat tujuh kerusi, membolehkan kedua-duanya membentuk kerajaan bersama.

Kedua-dua negeri ini memberikan satu pelajaran strategik kepada UMNO dan PAS apabila pertembungan sesama sendiri dapat dikurangkan, peluang menguasai lebih banyak kerusi menjadi lebih besar.

Jika formula sedemikian diterjemahkan ke peringkat Parlimen, persaingan tiga penjuru yang selama ini wujud di banyak kawasan boleh berubah menjadi pertandingan lebih terarah. Undi yang sebelum ini berpecah antara UMNO dengan PAS berpotensi diselaraskan, sekali gus mengubah keputusan di kerusi marginal. Namun, kerjasama UMNO-PAS juga mempunyai satu paradoks besar, iaitu siapa sebenarnya lebih memerlukan siapa?

UMNO memerlukan PAS untuk mengelakkan pertembungan dan mendapatkan semula sebahagian sokongan Melayu, manakala PAS pula memerlukan UMNO untuk memperluas capaian di kawasan mempunyai sejarah pengaruh UMNO lebih kukuh.

Namun dari segi kekuatan Parlimen, PAS memasuki rundingan dengan kedudukan lebih kuat. Pada PRU15, PAS memenangi 43 kerusi Parlimen berbanding 26 kerusi UMNO. Secara keseluruhan, PH memenangi 82 kerusi; PN (74) dan BN (30).

Justeru, kerjasama ini tidak semestinya bermakna UMNO kembali menjadi ‘abang besar’ dalam politik Melayu. Sebaliknya, PAS mungkin mempunyai kuasa tawar-menawar lebih besar berbanding ketika Muafakat Nasional dibentuk.

Di sinilah kegusaran terhadap penggabungan atau persefahaman UMNO-PAS perlu dizahirkan secara serius. Kerjasama kedua-dua parti yang berkongsi segmen pengundi boleh mengurangkan pembaziran undi, tetapi pada masa sama berpotensi melahirkan blok politik Melayu lebih tersusun dan sukar dipecahkan. Dalam keadaan ini, PH berdepan dilema tidak kurang besar. Persoalannya bukan sekadar bagaimana mempertahankan hubungan dengan rakan-rakan sedia ada, tetapi siapa lagi boleh menjadi rakan gabungan yang mampu melengkapkan kekuatan PH di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Dilema cari titik keseimbangan 

Kerajaan Perpaduan memberikan pengalaman bahawa kerjasama antara parti pernah menjadi pesaing mungkin berlaku. Namun, pilihan raya mempunyai logiknya sendiri. Parti yang boleh bekerjasama di Putrajaya belum tentu bersedia bertolak ansur dalam pembahagian kerusi apabila pilihan raya semakin hampir.

Dilema PH ialah mencari titik keseimbangan antara mengekalkan identiti dan kekuatan terasnya dengan keperluan memperluas jaringan politik. Jika terlalu bergantung kepada rakan sedia ada, ruangnya mungkin terbatas. Jika terlalu agresif mencari rakan baharu, ia pula boleh menimbulkan persoalan mengenai identiti dan hala tuju gabungan.

Namun, di sinilah pentingnya membezakan antara cabaran dengan ketetapan keputusan.

Peluang PH untuk memenangi PRU16 masih terbuka. Keputusan PRN Negeri Sembilan sendiri menunjukkan PH masih mempunyai sokongan signifikan, termasuk 11 kerusi dan lebih 40 peratus undi popular negeri. Kemenangan besar BN di Johor pula tidak semestinya boleh diterjemahkan secara automatik kepada seluruh negara kerana setiap negeri mempunyai struktur pengundi, isu tempatan dan sentimen politik berbeza.

Malah, PRU16 masih bergantung kepada banyak pemboleh ubah seperti prestasi kerajaan sehingga pilihan raya, keadaan ekonomi, isu semasa, sentimen pengundi Melayu dan bukan Melayu, keupayaan setiap parti mengurus calon serta pembahagian kerusi dan paling penting ialah mood pengundi ketika mereka benar-benar berada di peti undi.

Justeru, terlalu awal untuk menganggap UMNO-PAS sudah membentuk formula kemenangan. Begitu juga terlalu awal untuk menganggap PH telah kehilangan peluang. Yang jelas ialah landskap pilihan raya sedang berubah. Jika UMNO dan PAS berjaya menyelesaikan persoalan pembahagian kerusi dan kepemimpinan, pertandingan PRU16 mungkin tidak lagi menyerupai konfigurasi PRU15. Sebaliknya, PH perlu memikirkan semula strategi gabungan dan bagaimana memperluas daya tarikan tanpa kehilangan asas sokongan sedia ada.

Akhirnya, kehadiran PAS di PAU dan UMNO di Muktamar Agung Tahunan PAS mungkin hanya bermula dengan simbol. Namun dalam politik, simbol sering menjadi pendahulu kepada rundingan.

Bagaimanapun, selepas kegagalan Muafakat Nasional, kedua-dua parti mungkin tidak mengulangi formula lama. Mereka mungkin sedang mencari formula lebih pragmatik yang cukup untuk mengelakkan pertembungan dan menyatukan kekuatan, tetapi tidak semestinya cukup menjamin siapa akan menjadi peneraju.

Jika benar bergabung, konflik akan bermula dengan agihan kerusi dan siapa Perdana Menteri. Dalam aspek pemilihan Perdana Menteri, ia memerlukan sokongan penuh majoriti oleh Ahli Parlimen dan perkenan Yang di-Pertuan Agong. UMNO dan PAS harus bersetuju perkara ini lebih awal untuk memilih siapakah ‘PM menanti’ bagi pakatan mereka. Di situlah drama sebenar PRU16 sedang bermula. Namun, memahami politik Melayu, kita tidak boleh mempunyai dua nakhoda dalam satu bahtera. Maka, siapakah akan menjadi nakhoda itu?

Ini kerana ia bukan sekadar siapa mampu mengumpulkan undi paling banyak, tetapi siapa mampu membina gabungan paling sesuai dengan sentimen pengundi ketika pilihan raya benar-benar tiba.

Kredit : Berita Harian

Penulis ialah Pegawai Penyelidik Nusantara Academy for Strategic Research (NASR),Luthfi Yusri

Previous Post

Lelaki belasah penunggang motosikal, berang bayi terjaga, menangis akibat bunyi ekzos

Next Post

Pengecualian gaji minimum, ringan beban PMKS – SAMENTA

Next Post
Pengecualian gaji minimum, ringan beban PMKS – SAMENTA

Pengecualian gaji minimum, ringan beban PMKS - SAMENTA

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CARI KATEGORI

  • Ekonomi Islam
  • Jenayah
  • Khas
  • Minda Jutawan
  • Pendapat
  • POLITIK
  • Semasa
  • SME Bisnes
  • Sukan
  • Terkini
  • Uncategorized
  • Video

CARI TOPIK MENARIK

2018 League AirBorneo Rancang Pengembangan Balinese Culture Bali United Budget Travel Champions League Chopper Bike Doctor Terawan Gempa Bumi Gempa Bumi Sabah Istana Negara Lancar Operasi Jet Separuh Kedua 2026 Market Stories National Exam Sabah Visit Bali

POPULAR

  • Terengganu tidak sunyi, Haraki Fest 2026 bakal ‘gegar’ Kuala Terengganu

    Terengganu tidak sunyi, Haraki Fest 2026 bakal ‘gegar’ Kuala Terengganu

    0 shares
    Share 0 Tweet 0
  • Haraki Fest 2026 himpun usahawan, buka ruang teroka pasaran baharu

    0 shares
    Share 0 Tweet 0
  • Azira De Gallery curi tumpuan pada Malaysia Gifts Fair 2026

    0 shares
    Share 0 Tweet 0
  • Program Sinergi Usahawan buka peluang kolaborasi dan jaringan perniagaan baharu

    0 shares
    Share 0 Tweet 0
  • Sinergi Usahawan perkukuh jaringan usahawan dan industri

    0 shares
    Share 0 Tweet 0

Berita Terkini

  • Bukan sekadar baiki telefon, Seminar PRESENT 2026 buka peluang jana pendapatan
  • MPUPK Perkukuh Usahawan Bumiputera Zon Timur
  • Kelantan mahu KB Sentral diteruskan tanpa tunggu peruntukan RM250 juta

Segment

  • Ekonomi Islam
  • Jenayah
  • Khas
  • Minda Jutawan
  • Pendapat
  • POLITIK
  • Semasa
  • SME Bisnes
  • Sukan
  • Terkini
  • Uncategorized
  • Video
  • Tentang Kami
  • Pengiklanan
  • Hubungi

© 2026 BisPointAsia - Informasi • Keusahawanan • Adil

No Result
View All Result
  • Terkini
  • Semasa
  • SME Bisnes
  • Ekonomi Islam
  • Pendapat
  • Minda Jutawan
  • Video
  • Khas

© 2026 BisPointAsia - Informasi • Keusahawanan • Adil