KUALA LUMPUR, 3 OKT ( Berita Harian) – ECRL Operation Sdn Bhd (EOSB) akan menawarkan 35 pakej pengurusan fasiliti bernilai keseluruhan dianggarkan RM12.7 juta kepada kontraktor tempatan bagi tahun 2027, menjelang fasa pengoperasian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Pakej berkenaan merangkumi perkhidmatan pembersihan premis, penyelenggaraan landskap, kawalan makhluk perosak, penyelenggaraan am bangunan serta sistem penyaman udara dan akan melalui proses perolehan yang ditetapkan.
Pada masa sama, EOSB turut menyediakan 65 ruang niaga seperti kiosk dan ‘pushcart’ di stesen ECRL, sekali gus membuka peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan menyertai ekosistem pengoperasian rangkaian rel berkenaan.
Ruang niaga itu akan meliputi penawaran makanan dan minuman, barangan runcit serta keperluan perjalanan, produk tempatan dan cenderamata selain perkhidmatan berkaitan penumpang.
Ketua Pegawai Eksekutif EOSB, Mohd Zaidi Sharif, berkata penglibatan usahawan dan kontraktor tempatan adalah komponen penting dalam membentuk ekosistem pengoperasian ECRL yang kukuh serta mampan.
“Pengoperasian rangkaian ECRL memerlukan sokongan daripada pelbagai penyedia perkhidmatan bagi memastikan stesen, bangunan dan fasiliti sentiasa berada dalam keadaan selamat, bersih, selesa dan berfungsi dengan baik,” katanya.
Peluang perniagaan itu diperkenalkan menerusi Jelajah Usahawan dan Kontraktor Perkhidmatan Sokongan ECRL yang berlangsung dari 28 September hingga 2 Oktober lalu di lima lokasi sepanjang jajaran ECRL.
Lokasi terbabit ialah Pasir Puteh, Kelantan; Marang dan Dungun, Terengganu; serta Temerloh dan Kuantan, Pahang.
Mohd Zaidi berkata, menerusi jelajah berkenaan, EOSB dapat mendekati komuniti usahawan dan kontraktor tempatan di sepanjang jajaran ECRL, selain memberikan maklumat lebih jelas mengenai peluang yang tersedia, syarat penyertaan dan proses pemilihan.
EOSB berkata, penglibatan komuniti perniagaan dan kontraktor tempatan berpotensi membuka peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja setempat serta membangunkan penyedia perkhidmatan tempatan yang kompeten dan berdaya saing.
Jelajah itu menarik penyertaan 1,665 orang dalam sesi taklimat, membabitkan 321 peserta di Kelantan, 534 di Terengganu dan 810 di Pahang.
EOSB adalah syarikat usaha sama Malaysia-China yang diperbadankan pada Mei 2025 untuk mengendalikan dan menyelenggara ECRL.
ECRL adalah rangkaian rel elektrik sepanjang 665 kilometer yang menghubungkan Kota Bharu, Kelantan dengan Pelabuhan Klang, Selangor, merentasi empat negeri dan membabitkan 20 stesen.



