KUALA LUMPUR, 10 OKT ( Berita Harian) – Dana pembiayaan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) meningkat kepada RM500 juta menerusi Belanjawan 2027, berbanding RM350 juta sebelum ini, bagi memperkukuh pertumbuhan dan pengembangan perniagaan usahawan Bumiputera.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin, berkata perbadanan itu menyambut baik peningkatan dana berkenaan yang mencerminkan kepercayaan kerajaan terhadap peranannya dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan Bumiputera.
Katanya, PUNB akan melaksanakan amanah itu dengan penuh integriti, berteraskan tadbir urus yang baik dan telus bagi memastikan pembiayaan disalurkan kepada usahawan yang layak.
“Usahawan Bumiputera hari ini sudah bersedia untuk melangkah lebih jauh, bukan sekadar sebagai pembekal, tetapi sebagai peneraju industri yang memacu inovasi dan automasi bertaraf global.
“Tanggungjawab PUNB adalah untuk memastikan mereka mendapat sokongan setimpal dengan cita-cita tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Izwan berkata, PUNB akan memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan lain bagi memastikan sokongan yang disediakan memberi kesan nyata kepada perkembangan perniagaan usahawan Bumiputera.
Beliau berkata, peningkatan dana itu meneruskan komitmen yang dizahirkan pada Majlis Perasmian SParK 2026 apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengiktiraf keberkesanan pelaksanaan program pembiayaan PUNB.
Pada majlis berkenaan, Anwar turut menyatakan kesediaan kerajaan mempertimbangkan penambahan dana berdasarkan prestasi dan keberkesanan pelaksanaan mandat perbadanan itu.
Menurut Izwan, tumpuan Belanjawan 2027 terhadap pemerkasaan ekonomi Bumiputera menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA 35) selari dengan peranan PUNB dalam membantu usahawan menembusi pasaran bernilai tinggi.
Katanya, usaha kerajaan melonjakkan kedudukan negara dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), tenaga baharu dan industri bernilai tinggi membuka ruang kepada usahawan Bumiputera untuk mengembangkan perniagaan serta meningkatkan keupayaan dan daya saing.
PUNB turut melaksanakan penjajaran semula skim pembiayaan perniagaannya sepanjang 2026 menerusi PROSPER GROW, PROSPER GREAT dan PROSPER IMPACT/NOVA.
Perbadanan itu juga memperkenalkan tiga produk baharu di bawah PROSPER GROW, iaitu PROSPER GROW BIZ EXPRESS, PROSPER GROW FUEL UP dan PROSPER GROW AUTO BIZ, bagi memperluas akses pembiayaan kepada usahawan pada pelbagai peringkat perniagaan.
PUNB dalam kenyataan sama menegaskan komitmennya untuk menyokong aspirasi Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 serta akan memperincikan inisiatif selaras dengan Belanjawan 2027 dari semasa ke semasa.



