KUALA LUMPUR, 10 OKT ( Bernama) – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) merancang pelaburan RM1.5 bilion melalui Dana Pemacu serta peruntukan dalam inovasi, peralihan tenaga, semikonduktor dan penginapan pelajar bagi menyokong keutamaan ekonomi negara.
Rancangan menggerakkan modal merangkumi pasaran swasta, sektor strategik dan pasaran modal domestik itu tertakluk kepada proses pelaburan KWAP, pertimbangan risiko dan pulangan serta keadaan pasaran semasa.
KWAP dalam kenyataan memaklumkan, pelaburan melalui Dana Pemacu yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh keupayaan pengurusan dana tempatan, menarik penyertaan modal swasta serta memperluas akses pembiayaan kepada syarikat Malaysia pada peringkat pertumbuhan.
“Belanjawan 2027 memperlihatkan peranan penting modal domestik jangka panjang sebagai pemangkin kemajuan ekonomi Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Jay Khairil Jeremy Abdullah.
Beliau berkata, keutamaan KWAP kekal tertumpu kepada pelaburan Dana Persaraan secara berhemat bagi menjana pulangan jangka panjang yang mampan, di samping meneroka peluang selaras dengan keutamaan pembangunan kerajaan di bawah Ekonomi MADANI.
Sebanyak RM200 juta lagi akan disalurkan melalui Dana Perintis bagi merancakkan ekosistem syarikat pemula niaga dan inovasi negara.
Selain itu, RM1 bilion akan disalurkan melalui Dana Iklim+ bagi pelaburan berteraskan iklim untuk menyokong peralihan tenaga Malaysia.
KWAP turut merancang memperuntukkan sehingga RM1 bilion kepada sektor semikonduktor, dengan tumpuan kepada peluang pelaburan sepanjang rantaian nilai bagi memperkukuh keupayaan industri tempatan dan meningkatkan daya saing Malaysia.
Jay Khairil berkata, KWAP juga merancang menyalurkan RM750 juta melalui Projek Vista Kampus bagi membangunkan kemudahan penginapan khusus pelajar di universiti awam dan swasta tempatan terpilih.
Projek itu bertujuan memenuhi keperluan infrastruktur pendidikan tinggi negara.
Bagi memperkukuh ekosistem inovasi, kerajaan bersama KWAP akan mewujudkan Dana UniVC bernilai RM50 juta untuk menyokong pengkomersialan hasil penyelidikan universiti serta menggalakkan lebih banyak penyertaan modal swasta dalam pembangunan inovasi tempatan.
Jay Khairil berkata, komitmen itu memperkukuh peranan KWAP sebagai syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam menggerakkan modal jangka panjang bagi menyokong keutamaan ekonomi negara.
Katanya, KWAP terus berpegang kepada mandat di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662), tanggungjawab fidusiari dan komitmen terhadap pesara Malaysia.
KWAP akan terus melaksanakan pelaburan secara berhemat dan berdisiplin bagi menjana pulangan mampan, memperkukuh ekosistem pelaburan Malaysia, membangunkan keupayaan domestik serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Sementara itu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2027 semalam turut mengumumkan peningkatan kadar pencen minimum bulanan daripada RM1,000 kepada RM1,350.
Langkah itu akan memberi manfaat kepada hampir 59,000 pesara dan penerima pencen terbitan. Bantuan kewangan khas sebanyak RM750 juga akan disalurkan kepada pesara kerajaan.



