KUALA LUMPUR, 9 OKT ( Berita Harian) – Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) akan menggembleng pelaburan domestik berjumlah RM25 bilion menerusi inisiatif GEAR-uP bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara serta meningkatkan keupayaan syarikat tempatan dalam sektor bernilai tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pelaburan itu antara usaha memperluas kapasiti industri tempatan, memperkukuh rantaian bekalan domestik dan membolehkan lebih banyak syarikat Malaysia meneroka segmen perniagaan bernilai tinggi.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, antara inisiatif terbabit ialah penubuhan New Economy Venture Fund berjumlah RM1.25 bilion oleh Sime Darby Property, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi membangunkan pusat data serta aset logistik di Elmina, Selangor.
Selain itu, katanya, Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan melabur RM1.2 bilion bagi meningkatkan keupayaan syarikat semikonduktor tempatan untuk bergerak ke segmen industri lebih tinggi.
“Usaha itu turut merangkumi kerjasama Khazanah dan Kerajaan Negeri Selangor menerusi dana pelaburan bagi pembangunan industri semikonduktor di negeri berkenaan,” katanya.
Anwar berkata, pembangunan syarikat pemula niaga juga perlu disokong secara menyeluruh daripada peringkat idea dan modal awal sehingga ke fasa pengembangan, manakala syarikat pertengahan perlu diperkukuh supaya mampu menerajui industri bernilai tinggi.
Beliau berkata, sehubungan itu, Jelawang Capital milik Khazanah dan Dana Perintis KWAP akan melabur RM450 juta bagi membangunkan syarikat pemula niaga.
Katanya, pada masa sama, Dana NIMP, Dana Pemacu KWAP dan Dana MTC Khazanah yang berjumlah keseluruhan RM2.1 bilion akan dimanfaatkan untuk memperkukuh keupayaan syarikat pertengahan dalam sektor seperti elektrik dan elektronik (E&E), digital, aeroangkasa serta peranti perubatan.
Bagi memperluas akses kepada modal swasta, Perdana Menteri berkata, kerajaan turut menyediakan RM270 juta untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat pertengahan serta perusahaan sosial menerusi platform Pendanaan Awam Ekuiti (ECF) dan pembiayaan rakan setara (P2P).
“Selain itu insentif pengecualian cukai pendapatan juga dilanjutkan kepada pelabur individu melalui platform ECF serta pelabur mangkin yang membiayai syarikat pemula niaga teknologi pada peringkat awal sehingga 31 Disember 2030,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak RM41 juta turut diperuntukkan kepada Cradle Fund bagi melaksanakan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup, selain menyediakan geran pembangunan prototaip dan pengkomersialan.
Sementara itu, inisiatif SemiconStart oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) akan menyediakan pelaburan ekuiti susulan kepada syarikat pemula niaga dalam bidang semikonduktor, termasuk reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pembungkusan termaju.



