KUALA LUMPUR, 9 OKT ( Berita Harian) – Jumlah keseluruhan kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan ditingkatkan kepada RM57 bilion pada 2027 berbanding RM50 bilion sebelum ini.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu dilaksanakan bagi menyokong pertumbuhan perniagaan serta membantu syarikat menghadapi tekanan ekonomi.
Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) bersetuju menambah RM5 bilion kepada kemudahan pembiayaan sedia ada berjumlah RM5 bilion bagi membantu PKS yang terjejas susulan konflik di Asia Barat berikutan sambutan menggalakkan terhadap inisiatif itu.
Sementara itu, katanya Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) memperuntukkan RM7 bilion menerusi tujuh sektor strategik bagi menyokong pertumbuhan industri berimpak tinggi dan sektor teras pembangunan negara.
“Antara sektor yang diberi tumpuan ialah tenaga boleh baharu, logistik, aeroangkasa dan semikonduktor,” katanya.
Anwar berkata, bagi 2027, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) pula akan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM32 bilion bagi memperluas akses perniagaan kepada pembiayaan.
“Liputan SJPP akan diperluas kepada syarikat pertengahan dalam semua sektor, selain meningkatkan had jaminan sehingga RM50 juta.
“Daripada jumlah itu, jaminan SJPP sebanyak RM1 bilion akan dikhususkan bagi menyokong pengembangan syarikat tempatan melalui aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A),” katanya.
Anwar berkata, setakat lapan bulan pertama 2026, perdagangan negara mencecah RM2.5 trilion dengan pasaran eksport melonjak sebanyak 31.2 peratus kepada RM1.36 trilion.
Justeru, beliau berkata, tahun depan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan diperuntukkan RM60 juta bagi membina keupayaan syarikat tempatan menembusi dan mempelbagai pasaran luar.
“BPMB pula akan menyediakan pembiayaan berjumlah RM1 bilion bagi menyokong PMKS tempatan menerokai pasaran eksport,” katanya.



