KUALA LUMPUR 10 OKT – Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) komited menyokong pelaksanaan Belanjawan 2027 melalui pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta perniagaan halal, selain memudah cara pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui dan infrastruktur hijau.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz, berkata tumpuan belanjawan itu kepada industri strategik, pendigitalan, ekonomi halal dan peralihan tenaga menyediakan asas untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan daya tahan negara.
Katanya, pembangunan ekonomi seterusnya bergantung bukan sahaja kepada akses pembiayaan, tetapi juga keupayaan menggembleng sumber, inovasi dan bakat secara berkesan bagi meningkatkan produktiviti, daya saing serta mewujudkan aktiviti ekonomi bernilai tinggi.
“Pelaksanaan dasar yang berkesan menjadi faktor penting untuk menterjemahkan aspirasi kerajaan kepada impak ekonomi yang nyata dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompleks dan saling berkait.
“Bank Islam akan terus menyokong PMKS, perniagaan halal dan usahawan melalui penyelesaian pembiayaan, perdagangan dan rantaian bekalan, selain khidmat nasihat bagi membantu perniagaan meningkatkan keupayaan serta daya saing,” katanya dalam kenyataan.
Raja Teh Maimunah berkata, bank itu turut komited memudah cara pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur hijau dan sektor berkaitan peralihan tenaga melalui pembiayaan patuh Syariah, penyelesaian kewangan mampan serta penawaran sukuk.
“Bagi individu dan isi rumah, Bank Islam memberi tumpuan kepada kesejahteraan kewangan melalui pembiayaan bertanggungjawab serta penyelesaian simpanan dan pengurusan kekayaan.
“Perkhidmatan seperti Ar-Rahnu turut memainkan peranan dalam memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan dan peluang ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, pengukuhan ekosistem kewangan Islam Malaysia penting kerana peranannya melangkaui penyediaan perkhidmatan perbankan dan pembiayaan.
Katanya, kewangan Islam menawarkan kerangka berasaskan nilai yang menggalakkan keterangkuman, kemampanan serta penyertaan ekonomi secara bertanggungjawab.
Melalui cabang kewangan sosialnya, Sadaqa House, serta Program Pembangunan Keusahawanan iTEKAD, Bank Islam menggabungkan pembiayaan, latihan dan bimbingan bagi membantu usahawan yang kurang mendapat akses perbankan serta usahawan asnaf membina sumber pendapatan mampan dan meningkatkan kebebasan kewangan.
Raja Teh Maimunah berkata, Belanjawan 2027 membuka peluang untuk memperkukuh hubungan antara keutamaan negara, penyertaan sektor swasta dan pencapaian hasil sosial yang positif.
Katanya, kejayaan perlu diukur bukan sahaja berdasarkan pulangan kewangan, tetapi juga impak dan nilai yang diwujudkan kepada masyarakat.
“Bank Islam kekal komited menggunakan sumber secara berdisiplin dan bermatlamat bagi membantu perniagaan menjadi lebih inovatif serta mampan, di samping memperluas akses kepada perkhidmatan perbankan,” katanya.



