RAUB, 8 OKT ( Berita Harian) – Keunikan bunga Rafflesia di Hutan Simpan Lata Jarum, Ulu Dong bukan sahaja menjadi tarikan ekopelancongan baharu, malah membuka peluang menjana pendapatan kepada komuniti setempat apabila 15 penduduk kampung dilatih dan dilantik sebagai pemandu pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal, berkata pembabitan penduduk tempatan itu memberi ruang kepada mereka memperoleh pendapatan menerusi aktiviti pelancongan berasaskan alam semula jadi.
“Terima kasih kepada Pejabat Perhutanan Daerah Raub dan Jabatan Perhutanan Negeri sebab mereka juga melantik 15 penduduk kampung sebagai guide untuk bawa orang tengok bunga Rafflesia ini,” katanya ketika ditemui selepas Program Moh Jungle Trekking Sambil Menengok Bunga Rafflesia di Hutan Simpan Lata Jarum, Ulu Dong, di sini.

Beliau berkata, penduduk terbabit turut menerima latihan berkaitan Rafflesia bagi membolehkan mereka memberikan penerangan kepada pengunjung, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan khazanah alam semula jadi.
Beliau berkata, Pahang mempunyai tiga lokasi yang dikenal pasti mempunyai bunga Rafflesia iaitu Lata Jarum, Ulu Cheka dan Pulau Tioman, dengan Lata Jarum mempunyai keunikan tersendiri kerana terdapat empat spesies Rafflesia.
Antara spesies yang terdapat di kawasan berkenaan ialah Rafflesia azlanii dan Rafflesia cantleyi, sekali gus menambah nilai biodiversiti Hutan Simpan Lata Jarum sebagai destinasi ekopelancongan.
Katanya, Rafflesia mula dikesan di kawasan berkenaan sejak 2009 dan sebelum ini kawasan hutan simpan itu lebih tertutup kepada orang luar, namun kini dibuka kepada pengunjung dengan kemudahan yang disediakan.
Dalam pada itu, beliau berkata, sambutan Program Moh Jungle Trekking Sambil Menengok Bunga Rafflesia amat menggalakkan apabila jumlah peserta melebihi had 100 orang yang ditetapkan.
“Saya tak sangka sambutan yang cukup menggalakkan. Saya ingat dalam tempoh 14 jam dah 100 orang cukup lah. Kita hadkan100 orang, tapi akhirnya lebih,” katanya.
Beliau berkata, Rafflesia hanya berkembang dalam tempoh singkat, dengan kira-kira 14 kuntum pernah direkodkan di kawasan berkenaan pada Disember tahun lalu, sekali gus menjadikan usaha memelihara habitatnya penting bagi memastikan keunikan bunga berkenaan terus dapat dinikmati generasi akan datang.
Beliau turut mengajak masyarakat dari seluruh Pahang, Malaysia dan luar negara berkunjung ke Lata Jarum bagi menyaksikan sendiri keunikan Rafflesia, selain menikmati aktiviti ekopelancongan yang memberi manfaat ekonomi secara langsung kepada komuniti setempat.



