KUALA LUMPUR, 19 MEI ( Berita Harian) – SME Corporation Malaysia (SME Corp) mengumumkan pelantikan Datuk Teng Chang Khim sebagai Pengerusi baharu agensi itu berkuat kuasa semalam.
SME Corp dalam kenyataan berkata pelantikan tersebut dibuat oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.
Menurut kenyataan itu, Chang Khim yang merupakan lulusan Undang-undang dari Universiti London serta pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Perdana mempunyai pengalaman luas dalam bidang industri dan perniagaan.
“Beliau sebelum ini pernah menganggotai Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), selain memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) serta Invest Selangor Berhad.
Bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu juga mempunyai pengalaman dalam pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi tanggungjawab sebagai EXCO Selangor bagi portfolio Pelaburan, Industri Kecil dan Sederhana, Perdagangan dan Pengangkutan dari 2014 hingga 2018 serta Industri dan Perdagangan dari 2018 hingga 2023.
“Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Majlis Informasi dan Ekonomi Digital Selangor, Naib Pengerusi Majlis Industri Halal Selangor serta Pengerusi Penganjur Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS),” katanya.
SME Corp berkata pihaknya menyambut baik pelantikan itu dan akan terus komited memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia termasuk menerusi agenda penskalaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Dalam kenyataan sama, SME Corp turut merakamkan penghargaan kepada bekas pengerusinya, Tan Sri Bernard Giluk Dompok atas sumbangan dan kepimpinan beliau sejak 1 April 2023.




