KUALA TERENGGANU, 27 Apr – Showme Kidz International Sdn. Bhd dengan Kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu bakal membina Kompleks Pendidikan Sri Showme bernilai RM7.8 juta di Kampung Buluh Gading, Manir di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif, Showme Kidz International Sdn. Bhd, Redzuan Abdul Aziz berkata, kompleks Pendidikan Sri Showme adalah wakaf pendidikan yang merangkumi tadika, sekolah rendah dan menengah tersebut turut menyediakan kemudahan pendidikan kepada pelajar berkeperluan khas- golongan kurang upaya minda dan fizikal.
Katanya, kompleks yang bakal dibina di atas tanah wakaf seluas 0.9 hektar itu juga lengkap dengan kolam renang, pusat E-brelle, pusat terapi, musolla moden, makmal sains, bengkel pertukangan serta pelbagai kemudahan lain yang sesuai dengan keperluan pelajar.
Tambahnya, selaras dengan hasrat tersebut, pihaknya mengalu-alukan sokongan dan Kerjasama orang ramai bagi sama-sama berwakaf kepada Tabung Wakaf Pendidikan Sri Showme dengan mengimbas kod QR atau menghubungi pegawai Wakaf Showme di talian 017-5252572.

“Matlamat kami membina kompleks yang serba lengkap ini adalah untuk melahirkan generasi yang hebat dan cemerlang dengan keperibadian yang unggul tanpa mengira tahap dan kemmapuan pelajar tersebut.
“Jom bantu kami merealisasikan impian pembinaan kompleks ini sekaligus menjadi amal jariah yang berpanjangan untuk anda semua,” katanya.
Showme Kidz merupakan pengendali rangkaian tadika sejak tahun 1999 dan berpengalaman menguruskan sekolah rendah dan menengah sejak 13 tahun lalu.




