KUALA LUMPUR, 13 MEI (Bernama) – Pengeluaran getah asli Malaysia menurun 8.2 peratus kepada 21,310 tan pada Mac 2026 berbanding 22,124 tan pada Februari 2026, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam kenyataan hari ini, DOSM memaklumkan pengeluaran getah asli pada Mac lalu disumbangkan terutamanya oleh pekebun kecil sebanyak 87.8 peratus berbanding estet sebanyak 12.2 peratus.
Perbandingan tahun ke tahun pula menunjukkan pengeluaran getah asli susut 29.3 peratus berbanding 28,739 tan yang direkodkan pada Mac 2025.
Pada masa sama, jumlah stok getah asli pada Mac 2026 menurun 1.8 peratus kepada 139,174 tan berbanding 141,697 tan pada Februari lalu.
“Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 79.1 peratus diikuti kilang pengguna getah (20.8 peratus) dan estet getah (0.1 peratus),” menurut DOSM.
Sementara itu, eksport getah asli Malaysia berjumlah 33,137 tan pada Mac 2026, susut 2.2 peratus berbanding 33,897 tan pada Februari lalu.
DOSM berkata, China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli Malaysia dengan sumbangan 44 peratus daripada keseluruhan eksport pada Mac 2026, diikuti Jerman (18.1 peratus), Portugal (4.6 peratus), Amerika Syarikat (4.4 peratus) dan Brazil (3.9 peratus).
Prestasi eksport itu disokong oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.
“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai RM920 juta pada Mac 2026, meningkat 3.8 peratus berbanding RM880 juta pada Februari 2026,” menurut kenyataan itu.
Dari segi harga purata bulanan, lateks pekat mencatat 665.40 sen sekilogram pada Mac 2026 berbanding 586.69 sen sekilogram pada Februari lalu, meningkat 13.4 peratus.
Sementara itu, sekerap merekodkan harga purata bulanan 654.27 sen sekilogram pada Mac 2026 berbanding 631.13 sen sekilogram pada Februari, meningkat 3.7 peratus.




