JOHOR BAHRU, 13 MEI– Presiden Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Negeri Johor (Dewan Teraju), Ismail Karim menyifatkan kemenangan tanpa bertanding yang membolehkan beliau terus menerajui pertubuhan itu sebagai satu amanah besar dalam memperkukuh agenda pembangunan usahawan Bumiputera di negeri ini.
Beliau berkata, kepimpinan baharu Dewan Teraju akan memberi fokus kepada usaha memperluaskan jaringan perniagaan ahli ke peringkat antarabangsa selain meningkatkan daya saing usahawan tempatan dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.
Menurutnya, usahawan Bumiputera perlu mengambil peluang untuk menembusi pasaran global dengan memastikan produk yang dihasilkan memenuhi piawaian berkualiti serta mematuhi pensijilan berkaitan seperti ISO dan halal, khususnya dalam industri makanan.
“Harapan saya supaya usahawan dapat mengembangkan perniagaan ke arena antarabangsa. Pada masa sama, mereka perlu meningkatkan mutu produk serta memastikan aspek pensijilan dipatuhi,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Kali Ke-3 Dewan Teraju 2026, di sini.
Tambah beliau, ketidaktentuan ekonomi global termasuk kenaikan harga minyak memberi kesan kepada semua sektor perniagaan, justeru usahawan perlu lebih berdaya tahan menerusi pengurusan kewangan yang berhemah serta memberi tumpuan kepada produk berpotensi tinggi di pasaran.
Beliau turut menegaskan bahawa syarikat yang mempunyai tadbir urus baik dan strategi perniagaan jelas lebih berupaya bertahan walaupun berdepan pelbagai krisis ekonomi yang berlaku sejak beberapa dekad lalu.
Mesyuarat Agung Kali Ke-3 Dewan Teraju 2026 itu turut dihadiri seramai 152 ahli.




