KUALA LUMPUR , 14 MEI (Berita Harian) – Kerajaan sedang memberi tumpuan kepada pelaksanaan pemberian subsidi diesel dengan menggunakan sistem sama seperti BUDI95.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata fokus semasa adalah memperbaiki kaedah pengurusan subsidi diesel bagi memastikan sistem sedia ada lebih berkesan dan mampan.
Katanya, antara cabaran utama ketika ini adalah jurang besar antara harga pasaran dan harga diesel bersubsidi yang membuka ruang kepada aktiviti penyeludupan serta ketirisan subsidi.
“Apabila berlaku jurang yang ketara antara harga pasaran dengan harga bersubsidi, maka aktiviti seperti penyeludupan dan ketirisan berlaku dengan lebih ketara,” katanya mengulas sama ada perbincangan mengenai pengurangan kuota penggunaan RON95 bawah BUDI95 diadakan di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Kabinet.
Akmal Nasrullah berkata, walaupun tindakan penguatkuasaan terus dipertingkatkan, kerajaan melihat keperluan untuk meneliti pendekatan lebih menyeluruh dalam pengurusan subsidi diesel.
Akmal turut menjelaskan bahawa tiada keputusan muktamad telah dibuat di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) atau Kabinet mengenai cadangan menaikkan harga runcit RON95 bersubsidi atau mengurangkan lagi kuota individu bulanan Budi95.
“Pada peringkat ini, belum ada perbincangan yang membawa kepada sebarang keputusan muktamad kerana tumpuan kami ketika ini adalah kepada pelaksanaan mekanisme subsidi diesel,” katanya ketika ditanya sama ada kerajaan telah membincangkan langkah mengurangkan kuota Budi95 atau menaikkan harga runcit RON95 bersubsidi.
“Apabila keputusan dibuat, kami akan mengumumkannya dengan jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran laporan ‘Malaysia Economic Monitor 2026’ bertajuk ‘Raising the Ceiling, Raising the Floor: The Jobs Agenda as a Productivity Agenda’ yang dikeluarkan Bank Dunia.
Menurut Kementerian Kewangan, bil subsidi bahan api bulanan Malaysia telah melonjak kira-kira 10 kali ganda kepada RM7 bilion setakat April berbanding sekitar RM700 juta sebelum tercetusnya peperangan, sekali gus menambah tekanan fiskal kepada kerajaan.
Akmal berkata kerajaan perlu menyeimbangkan keperluan untuk memastikan jaminan bekalan bahan api dan membendung tekanan inflasi berbanding kos fiskal bagi mengekalkan subsidi semasa krisis yang berpanjangan.
“Sambil kita menilai skala dan tempoh krisis berkenaan, perlu juga ada keseimbangan bagi memastikan majoriti rakyat kekal dilindungi,” katanya.
Menteri berkenaan berkata kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha menambah baik mekanisme pengurusan subsidi bagi diesel, termasuk menyelaraskannya dengan rangka kerja subsidi bersasar Budi95, susulan perbincangan Kabinet mengenai perkara tersebut.
“Seperti yang diumumkan semalam berikutan keputusan Kabinet, kami juga akan menyelaraskan mekanisme diesel dengan pendekatan Budi95,” katanya.
Beliau menambah bahawa langkah itu bertujuan untuk mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan yang berpunca daripada jurang yang semakin melebar antara harga bahan api bersubsidi dan harga pasaran.
“Apabila terdapat jurang yang ketara antara harga pasaran dan harga bersubsidi, aktiviti seperti penyeludupan dan ketirisan akan menjadi lebih ketara,” katanya.
Pada hari Rabu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengesahkan bahawa kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan mekanisme subsidi diesel yang diselaraskan dengan sistem Budi Madani yang digunakan untuk subsidi petrol RON95.
Fahmi juga berkata Kabinet tidak membincangkan pengurangan kuota Budi95 semasa mesyuarat terbaharunya, sambil menegaskan semula bahawa keutamaan kerajaan ketika ini adalah menyelaraskan pengagihan subsidi diesel dengan mekanisme Budi95.
Kuota RON95 bersubsidi di bawah Budi95 telah dikurangkan buat sementara waktu kepada 200 liter sebulan daripada 300 liter, berkuat kuasa 1 April, susulan peningkatan konflik di Asia Barat.
Mengenai Dashboard Pemantauan Krisis Bekalan Global, beliau berkata, pengenalan dashboard itu adalah untuk meningkatkan ketelusan maklumat kepada rakyat berkaitan situasi bekalan dan harga semasa.
Menurutnya, platform berkenaan akan membolehkan masyarakat mengikuti perkembangan krisis bekalan global secara lebih terbuka dan interaktif, termasuk membuat perbandingan situasi sepanjang tempoh krisis.
Katanya, dashboard itu juga bertujuan membantu rakyat memahami kesan krisis global terhadap ekonomi domestik, khususnya membabitkan inflasi dan kos sara hidup.
“Berdasarkan unjuran global, kadar inflasi dunia pada 2026 dijangka mencecah 4.4 peratus, namun Malaysia setakat Mac lalu masih berjaya mengekalkan inflasi pada kadar 1.7 peratus.
“Kerajaan menyasarkan kadar inflasi negara kekal dalam julat 1.5 hingga 2.5 peratus tahun ini,” katanya.
Melalui dashboard berkenaan, orang ramai juga dapat memantau trend harga dan bekalan secara lebih langsung, manakala kerajaan mempunyai akses kepada data lebih terperinci bagi membantu proses membuat keputusan dasar ekonomi dan bekalan negara.




