KENINGAU, 14 SEPT – Impian seorang wanita orang kurang upaya (OKU) kerdil dari Kampung Batu Lunguyan, Sabah, untuk memiliki kemahiran sebagai sumber pendapatan tetap akhirnya tercapai selepas mengikuti latihan jahitan dan anyaman menerusi program pembangunan kemahiran komuniti.
Magdelina Joachim, 30, sebelum ini bergantung kepada pendapatan daripada pemasaran afiliat yang tidak menentu bagi menyara kehidupannya dari rumah.
Menurutnya, pendapatan yang diterima ada kalanya memuaskan, namun terdapat juga tempoh tertentu tanpa sebarang hasil, sekali gus mendorongnya mencari kemahiran yang mampu memberikan sumber pendapatan lebih konsisten dalam jangka panjang.
“Kadang-kadang ada pendapatan, kadang-kadang tiada. Dalam hati, saya memang mahu mempunyai kemahiran yang boleh dijadikan sumber rezeki sendiri secara lebih konsisten.
“Saya juga menyimpan hasrat untuk belajar menjahit, tetapi ketika itu saya belum mempunyai mesin dan peralatan yang sesuai. Keadaan itu membuatkan saya berasa terbatas dan kurang yakin dengan kemampuan diri,” katanya.
Bagaimanapun, peluang mengikuti latihan kemahiran akhirnya menjadi titik perubahan dalam kehidupan Magdelina apabila kemahiran jahitan dan anyaman yang dipelajarinya membuka peluang ekonomi baharu.
Lebih membanggakan, kemahiran berkenaan membantunya meningkatkan pendapatan hampir 80 peratus berbanding ketika beliau hanya bergantung kepada pemasaran afiliat.

Magdelina berkata, antara detik paling bermakna sepanjang mengikuti latihan itu ialah apabila beliau menerima mesin jahit industri buat kali pertama.
“Apabila pertama kali melihat mesin jahit industri, perkara pertama yang bermain di fikiran saya ialah, ‘Inilah pintu rezeki saya.’
“Walaupun ada rasa takut, berdebar dan kurang yakin kerana belum mahir menggunakannya, saya cuba melihatnya sebagai satu permulaan baharu dalam hidup,” katanya.
Perubahan itu bermula selepas Magdelina menyertai Kursus Jahitan Anyaman yang dilaksanakan Komuniti Kraf Kelarai Sook dengan kerjasama SOSEA serta tajaan Yayasan Axiata.
Beliau turut menerima manfaat menerusi Program Pembangunan Kemahiran Komuniti anjuran Koperasi Kraf Batu Lunguyan yang ditaja Yayasan Hasanah.
Bagi Magdelina, peluang berkenaan bukan sekadar memberinya kemahiran baharu, malah meningkatkan keyakinan untuk meneroka potensi diri yang sebelum ini terpendam.
Sebagai individu OKU kerdil, beliau membuktikan kekurangan fizikal bukan penghalang untuk membina kehidupan lebih baik sekiranya diberikan peluang, sokongan dan akses kepada kemahiran yang bersesuaian.
Inisiatif berkenaan turut menjadi sebahagian daripada agenda pemerkasaan komuniti yang menyokong matlamat GEAR-uP (Government-Linked Enterprises Activation and Reform Programme).
GEAR-uP dilancarkan Kementerian Kewangan pada Ogos 2024 bagi memastikan kekuatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat.
Menerusi program itu, peserta bukan sahaja diberikan latihan kemahiran, malah mendapat akses kepada peralatan serta peluang menjana pendapatan tanpa perlu meninggalkan komuniti masing-masing.
Bagi Magdelina, peluang berkenaan menjadi bukti bahawa perubahan kehidupan boleh bermula dengan satu kemahiran dan peluang yang tepat.
Daripada sekadar mengimpikan kemahiran menjahit, beliau kini mempunyai kemahiran, peralatan serta keyakinan untuk membina sumber pendapatan sendiri yang lebih stabil.



