KUALA LUMPUR, 31 MEI (Berita Harian) – Tanggapan bahawa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia sudah bergerak seiring era digital disifatkan kurang tepat apabila majoriti perusahaan tempatan masih berada pada tahap pendigitalan asas.
Kertas perbincangan terbaharu Khazanah Research Institute (KRI) bertajuk From Survival to Scale: Digital Empowerment for Malaysia’s Micro and Small Enterprises mendedahkan pendigitalan PKS tempatan masih tidak mendalam walaupun akses kepada kemudahan digital semakin meluas.
Berdasarkan data kaji selidik KRI, penggunaan internet dan komputer dalam kalangan PKS masing-masing mencapai 93.1 peratus dan 95.8 peratus pada 2022.
Kehadiran sesawang atau ‘web presence’ turut meningkat ketara daripada 20.1 peratus pada 2015 kepada 70.8 peratus pada 2022.
“Statistik ini membayangkan bahawa majoriti PKS boleh diakses secara dalam talian, yang menurunkan kos capaian dan sokongan,” menurut laporan itu.
Namun, KRI mendapati penggunaan teknologi digital masih tertumpu kepada operasi asas dan belum diterjemahkan kepada aktiviti perniagaan teras.
Daripada keseluruhan PKS yang mempunyai sambungan internet, hanya 70,463 perusahaan atau sekitar 6.6 peratus terbabit secara formal dalam aktiviti e-dagang bagi menjana pendapatan.
Jurang besar antara akses internet dan penggunaan e-dagang itu menunjukkan kebolehan PKS untuk menukar ketersambungan digital kepada hasil perniagaan sebenar masih rendah.
Laporan itu menjelaskan kebanyakan pengusaha PKS lebih cenderung menggunakan teknologi bagi operasi bahagian hadapan atau front-end perniagaan.
Pelaburan digital PKS banyak tertumpu kepada penggunaan teknologi mudah alih yang mencatat kadar 71.9 peratus serta platform media sosial sebanyak 69.6 peratus bagi memastikan kelangsungan operasi harian.
“Penerimaan teknologi di kalangan PKS adalah meluas di permukaan tetapi kekal terhad untuk peralatan lanjutan,” menurut dokumen KRI itu.
KRI turut mendapati penggunaan sistem sokongan bahagian belakang atau back-end seperti analisis data dan perisian pengurusan masih rendah, masing-masing pada kadar 22.1 peratus dan 49.7 peratus.
Penggunaan teknologi generasi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet Kebendaan (IoT) pula hanya sekitar 1.3 peratus.
Analisis menerusi inisiatif Penilaian Kematangan Digital (DMA) oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) turut mengesahkan kebanyakan perusahaan mikro dan kecil masih berada pada Tahap 1 (Tidak Sedar) dan Tahap 2 (Asas) dalam kematangan digital.
Menerusi penilaian terhadap 256 PKS yang mengikuti siri bengkel serantau, pengusaha didapati masih kurang kefahaman berstruktur mengenai inovasi digital dan perkhidmatan teknologi maklumat, selain berdepan kelemahan dokumentasi asas.
“Pada Tahap 1 dan 2 Kematangan Digital, cabaran pendigitalan adalah terutamanya bersifat struktur berbanding teknologi,” kata penulis laporan berkenaan, Shazrul Suhaimi dan Maryam Halim.
Menurut mereka, antara faktor utama yang menghalang integrasi teknologi ialah amalan perniagaan tidak rasmi dalam kalangan usahawan mikro termasuk kelemahan penyimpanan rekod kewangan serta amalan mencampurkan akaun peribadi dan akaun syarikat.
Situasi itu menyebabkan banyak PKS gagal memenuhi syarat untuk mendapatkan pembiayaan luar atau geran teknologi.
Berikutan kekangan kewangan, sebahagian besar pengusaha memilih untuk mendigitalkan operasi secara minimum bagi menyaingi pesaing tanpa pelan transformasi perniagaan yang menyeluruh.
“Adopsi ini selalunya didorong oleh keperluan survival jangka pendek, pengaruh rakan sebaya, atau trend semasa dan bukannya melalui perancangan perniagaan yang berstruktur,” menurut laporan itu.
KRI turut membangkitkan isu birokrasi dan pertindihan inisiatif kerajaan yang dikatakan membebankan PKS.
Laporan itu merujuk pendedahan Bank Dunia bahawa antara 2016 hingga 2019 terdapat lebih 270 inisiatif pembiayaan PKS yang dikendalikan oleh lebih 80 agensi berbeza.
Menurut KRI, keadaan itu meningkatkan kos masa dan beban pematuhan kepada usahawan mikro yang kebanyakannya mempunyai kapasiti pengurusan pentadbiran terhad.
Sehubungan itu, KRI mencadangkan penubuhan portal sehenti pelaburan kebangsaan di bawah pengurusan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi menyelaras semua program pembiayaan PKS.
“Penyelarasan yang dipertingkatkan ini bukan sahaja akan mengurangkan pertindihan tetapi juga meningkatkan keselarasan dasar, kecekapan penyampaian, dan keseluruhan pengalaman pengguna untuk PKS,” menurut laporan itu.
KRI berpandangan langkah penyelarasan itu mampu meningkatkan keyakinan komuniti PKS terhadap ekosistem digital negara.
Malah, laporan itu turut memetik kaji selidik CPA Australia yang mendapati 82 peratus usahawan kecil di Malaysia optimis terhadap pertumbuhan ekonomi perniagaan pada 2025, sekali gus meletakkan Malaysia antara pasaran paling yakin di rantau Asia Pasifik.




