KUALA LUMPUR, 7 JUN – Mohamad Shiblie Abg Sapuan secara rasminya dilantik sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif baharu TEKUN Nasional, sekali gus membawa nafas baharu dalam usaha memperkukuhkan agenda pembangunan usahawan dan memperkasa peranan organisasi tersebut sebagai peneraju pembiayaan mikro negara.
Mohamad Shiblie mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan dan kepimpinan, selain dikenali sebagai seorang pemimpin yang komited terhadap pembangunan organisasi serta pemerkasaan komuniti usahawan.
Pengalaman dan kepakaran yang dimiliki dijangka dapat membantu TEKUN Nasional terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi yang memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana di negara ini.
Sebelum menyertai TEKUN Nasional, Mohamad Shiblie berkhidmat sebagai Chief Business Banking Officer di Bank Rakyat, dengan pengalaman luas dalam sektor perbankan dan kewangan yang merangkumi pembangunan perniagaan, pembiayaan usahawan serta pengurusan strategik.

Berbekalkan pengalaman lebih dua dekad dalam sektor kewangan termasuk perbankan komersial seperti Affin Bank, beliau diyakini mampu memperkukuh peranan TEKUN Nasional dalam memperluaskan akses pembiayaan dan pembangunan usahawan di seluruh negara
Pelantikan beliau dilihat sebagai satu langkah strategik dalam memastikan TEKUN Nasional terus relevan, progresif dan responsif terhadap cabaran serta keperluan semasa usahawan.
Dengan visi dan pendekatan yang dibawa, beliau diyakini mampu menerajui organisasi ke arah pencapaian yang lebih cemerlang, inovatif dan berimpak tinggi.
Warga TEKUN Nasional turut menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan baharu ini akan memperkukuh lagi usaha organisasi dalam membantu usahawan meningkatkan daya saing perniagaan, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.




