KUALA LUMPUR,7 SEPT ( Berita Harian) – Kerajaan menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM16 bilion bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk yang berdepan cabaran mendapatkan pinjaman kerana tidak mempunyai rekod kewangan kukuh.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata PMKS adalah tulang belakang ekonomi negara dengan kira-kira 90 peratus syarikat di Malaysia terdiri daripada PMKS, selain menyumbang hampir 50 peratus kepada penggajian.
Justeru, beliau berkata, kerajaan menyediakan dana menerusi Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), khususnya bagi memberikan jaminan kepada PMKS yang ingin mendapatkan pinjaman daripada sektor perbankan.
“PMKS yang kecil mungkin tidak mempunyai sistem rekod yang baik dan aliran tunai yang jelas.
“Jadi, satu cara kita buat ialah memberikan jaminan yang menurunkan risiko pinjaman dan harga pinjaman yang ada,” katanya ketika ditemui di Balai Berita Media Prima, di sini, hari ini.
Amir Hamzah berkata, mekanisme jaminan itu membolehkan sektor perbankan memberikan pinjaman kepada PMKS yang sebelum ini mungkin berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan kerana tidak mempunyai rekod kewangan yang mencukupi.
Selain itu, beliau berkata, agensi yang menyediakan kemudahan pembiayaan mikro seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat, MARA dan TEKUN Nasional turut memberikan bimbingan kepada PMKS yang mendapatkan pinjaman.
“Kerajaan mahu bimbing mereka agar rekod kewangan ada, boleh membina masa depan. Apabila mereka sudah berkembang, mereka boleh pergi ke bank dan tidak perlu bergantung kepada mekanisme jaminan disediakan kerajaan.
“Ini kerana mereka sudah mempunyai aliran tunai yang lengkap dan jelas,” katanya.
Amir Hamzah berkata, daripada keseluruhan RM16 bilion kemudahan pembiayaan itu, RM6 bilion disediakan menerusi pembiayaan mikro melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Agrobank, BSN, Bank Rakyat, MARA dan TEKUN Nasional.
“Manakala RM10 bilion lagi melalui SJPP dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) yang memberikan jaminan pinjaman melalui sistem perbankan,” katanya.
Mengenai kemungkinan penyediaan dana lebih besar bagi pembangunan yang lebih sekata dalam Belanjawan 2027, Amir Hamzah berkata, perkara berkaitan kos sara hidup, penyediaan pekerjaan lebih baik dan keseimbangan pembangunan negara antara perkara yang diberi penekanan.
Beliau berkata, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober akan memberikan perhatian kepada perkara itu.
“Penekanan utama antara lain ialah kos sara hidup, bagaimana menyediakan pekerjaan yang lebih baik dan bagaimana nak menyeimbangkan perkembangan dalam negara agar pertumbuhan sekata itu dapat diadakan.
“Ini akan diberikan tekanan dalam Belanjawan 2027,” katanya.




