SUNGAI BULOH, 7 SEPT ( Berita Harian) – “Macam mana pun Erra kena involve dalam hidup saya.”
Itu seloroh Datuk Awie ketika mengulas pembabitan aktres dan penyanyi, Erra Fazira dalam Konsert Awie Rock King – Last Man Standing 2026 yang bakal berlangsung di Stadium Merdeka, di sini, Sabtu ini.
Menurut Awie, kehadiran Erra bukan sekadar untuk memancing perhatian peminat, sebaliknya mempunyai kaitan dengan perjalanan hidup dan kerjayanya yang pernah dikaitkan dengan aktres terbabit.
“Erra akan menyanyikan lagu Cinta Makrifat dengan saya dalam segmen Cinta & Filem.
“Sebenarnya, macam mana pun dia kena involve dalam hidup saya. Dia tak boleh lari sebab dah sinonim pasal satu ketika dulu.
“Jadi, kita tawarkan. Kalau dia nak, dia nak. Kalau dia tak nak, kita tak boleh buat apa-apa.
“Tapi, Alhamdulillah dia nak. Di situlah bermulanya cerita itu. Kalau dia tak nak, maka tak adalah kisah itu,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan konsert berkenaan di MyStudio, di sini, Sabtu lalu.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 58, berkata persetujuan Erra untuk menjayakan konsert itu juga tidak sukar diperoleh.
“Dia okey. As long as lagu tak banyak, dia okey,” katanya sambil ketawa.
Selain Erra, konsert berkenaan bakal menampilkan barisan penyanyi otai dan generasi baharu, antaranya Datuk Hattan, Hannah Delisha, Putra Ahmad Merrah, Amir Masdi, Stacy dan Black.
Menurut Awie, konsert terbitan Bombbay Legend Worldwide itu bakal dibahagikan kepada lima segmen yang mempunyai kisah tersendiri.
“Konsert ini hadir dengan lima segmen yang ditetapkan penganjur. Saya hanya study tajuk, study lagu dan saya bawa diri saya.
“Setiap segmen ada kisahnya. Jadi, kisah-kisah ini semua saya kena selami dan ada monolog yang saya kena buat untuk menceritakan perjalanan dan sebagainya.
“Ada juga sketsa yang saya kena lakonkan bersama Erra dan Hannah Delisha. Jadi, ada segmen yang menarik dan ia bukan tertumpu kepada nyanyian sahaja,” katanya.




