MACHANG, 13 JULAI – Berbekalkan resipi gulai lemak cili api salai warisan keluarga yang berusia lebih 100 tahun, Kedai Nasi Sup Kambing Daging Salai Pok Su kini menjadi antara destinasi makanan popular di sini.
Pemiliknya, Kamarul Zaini Mohd Khalid, 63, atau lebih dikenali sebagai Pok Su, berkata penghijrahannya dari Negeri Sembilan ke Kelantan kira-kira tujuh tahun lalu membuka lembaran baharu apabila memperkenalkan masakan salai asli Rembau kepada masyarakat setempat.
Menurut beliau, resipi yang diwarisi daripada arwah neneknya mengekalkan kaedah penyediaan tradisional, termasuk proses menyalai bahan mentah bagi menghasilkan aroma dan rasa yang lebih istimewa.
“Pada peringkat awal, saya mengambil masa hampir dua tahun untuk memperkenalkan masakan ini kerana masyarakat di Kelantan belum begitu biasa dengan gulai lemak salai.
“Namun, selepas pelanggan mula merasai sendiri keunikan rasanya, sambutan semakin menggalakkan,” katanya
.
Terletak bertentangan Stesen Bas Machang, premis tersebut menawarkan pelbagai hidangan seperti daging salai masak lemak cili api, ayam kampung salai, itik salai, ikan keli salai serta sup kambing pekat yang menjadi antara menu pilihan pelanggan.

Bagi memastikan identiti masakan terus dikekalkan, Pok Su berkata setiap bahan disalai menggunakan kayu rambutan selama tujuh hingga lapan jam, manakala mengikut resipi asal keluarganya, proses penyalaiannya boleh mengambil masa sehingga tiga hari sebelum dimasak.
POk Su berkata isterinya, Muzlina Yusoff, bertanggungjawab menyediakan masakan setiap hari dengan menggunakan santan pekat dalam kuantiti yang banyak bagi mengekalkan rasa asli gulai lemak walaupun kos bahan mentah semakin meningkat.
“Walaupun harga santan meningkat, kami tetap menggunakan santan pekat kerana itulah rahsia keenakan kuah gulai lemak salai kami,” katanya.
Selain mengekalkan resipi tradisional, Pok Su turut membuat sedikit penyesuaian pada tahap kepedasan dengan menambah sentuhan rasa manis agar lebih menepati cita rasa masyarakat Kelantan tanpa menghilangkan identiti masakan Negeri Sembilan.
Premis Nasi Sup Kambing Daging Salai Pok Su beroperasi dari Ahad hingga Khamis bermula jam 7 pagi sehingga semua lauk habis dijual, manakala ditutup pada setiap Jumaat dan Sabtu.




