KUALA LUMPUR, 2 OGOS – Agrobank menyalurkan RM46 juta menerusi 765 pembiayaan mikro kepada usahawan di Kelantan dalam tempoh Januari 2025 hingga Julai 2026, sekali gus memperluas akses kewangan serta membantu perusahaan mikro mengembangkan perniagaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata pendekatan turun padang membolehkan institusi kewangan itu membawa perkhidmatan lebih dekat kepada peniaga mikro di samping memahami keperluan sebenar mereka.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan bukan sahaja membuka akses kepada pembiayaan, malah membantu peniaga membina asas perniagaan yang lebih kukuh menerusi perkhidmatan perbankan, pembayaran digital serta khidmat nasihat yang bersesuaian.
“Pencapaian 100 peratus penggunaan DuitNow QR dalam kalangan pemegang akaun yang terlibat menunjukkan kesediaan peniaga mikro untuk beralih kepada kaedah perniagaan yang lebih moden, teratur dan cekap,” katanya dalam satu kenyataan.
Di Kelantan, Agrobank kini mempunyai 4,099 pelanggan pembiayaan mikro aktif dengan nilai pembiayaan keseluruhan berjumlah RM147 juta.
Agrobank memperkukuh usaha memperkasa peniaga mikro di Kelantan menerusi pendekatan turun padang yang memperluaskan akses kepada perkhidmatan perbankan, pembiayaan dan pembayaran digital di Bachok.
Inisiatif menerusi Program Karnival Usahawan Bachok 2026 itu menyaksikan 94.3 peratus peniaga membuka akaun Agrobank, manakala semua pemegang akaun terbabit menggunakan kemudahan DuitNow QR sebagai kaedah pembayaran digital.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Daerah Bachok itu turut menyaksikan lebih 70 peratus peniaga menerima kanopi bagi menyokong operasi perniagaan di Pasar Jelawat Baharu.
Kerjasama itu bertujuan menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih tersusun dan kondusif kepada peniaga yang sebelum ini berniaga di kawasan pasar lama serta di tepi jalan.
Agrobank akan terus memperluas pendekatan turun padang bersama pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi meningkatkan keterangkuman kewangan serta membantu lebih ramai usahawan mikro memformalkan, mendigitalkan dan mengembangkan perniagaan.




