SHAH ALAM,3 OGOS ( Berita Harian)- Pelajar Tingkatan Empat yang menjadi mangsa serangan di sebuah sekolah di Bandar Utama dekat sini tahun lalu, dimaklumkan mengalami sekurang-kurangnya 180 kesan tikaman dan luka hirisan pada bahagian badan.
Pakar patologi forensik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Koo Zhao Peng, yang juga saksi pendakwaan pertama dalam perbicaraan kes bunuh membabitkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini bahawa mangsa, 16, turut mengalami kecederaan pada arteri karotid dan vena jugular, iaitu saluran darah utama.
Berdasarkan penemuannya serta laporan bedah siasat setebal 23 muka surat, Zhao Peng menyimpulkan bahawa punca kematian mangsa adalah akibat “pelbagai kesan tikaman” pada bahagian leher dan dada.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa pada 14 Oktober tahun lalu, beliau diminta oleh pegawai penyiasat kanan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Asisten Superintendan Ahmad Zarrin Abd Rashid, untuk menjalankan bedah siasat.
Ibu mangsa, Wong Lee Ping, hadir bagi membuat pengecaman rasmi terhadap mayat anak perempuannya.
Zhao Peng berkata beliau menjalankan pemeriksaan luaran dan dalaman, mengambil sampel darah serta spesimen lain untuk analisis makmal dan pemeriksaan histopatologi sebagai sebahagian daripada proses bedah siasat.
Perbicaraan di hadapan Hakim Adlin Abdul Majid bermula hari ini dan dijadualkan berlangsung selama lapan hari.
Remaja lelaki itu, yang identitinya tidak boleh didedahkan atau dirakam gambarnya kerana masih di bawah umur, dibawa ke mahkamah dari Pusat Koreksional Puncak Alam, sebuah pusat tahanan juvana.
Prosiding dijalankan secara tertutup (in camera).
Pihak media diberi taklimat mengenai perjalanan prosiding hari ini oleh peguam bela, Kitson Foong, yang hadir bersama Chew Jee San, Angel Choo dan Yan Zhi Wei.
Foong berkata prosiding hanya bermula jam 11 pagi selepas berlaku kelewatan kerana pihak penjara gagal membawa tertuduh ke mahkamah walaupun arahan untuk berbuat demikian telah dikeluarkan lebih awal.
Sepanjang perbicaraan, tiga bilah pisau dikemukakan sebagai barang kes, dengan Foong menyatakan hanya satu daripadanya sepadan dengan kecederaan yang ditemukan pada tubuh mangsa.
Beliau berkata remaja itu kekal tenang sepanjang prosiding dan kelihatan lega apabila melihat ahli keluarganya hadir di mahkamah.
Foong berkata ibu mangsa yang merupakan saksi pendakwaan kedua, mengesahkan identiti anak perempuannya selepas ditunjukkan gambar di mahkamah.
Beliau berkata ibu mangsa dimaklumkan mengenai kejadian itu pada hari ia berlaku, namun tidak mengetahui tahap kecederaan dialami anaknya sehinggalah beliau tiba di sekolah.
“Beliau hanya menyedari betapa seriusnya keadaan apabila melihat anaknya di atas pengusung sebelum dibawa ke hospital,” katanya.
Foong berkata ibu mangsa kemudian dihubungi Ahmad Zarrin untuk membuat pengecaman mayat di Jabatan Forensik hospital.
“Beliau dimaklumkan oleh Dr Koo (Zhao Peng) pada tengah malam mengenai punca kematian anaknya selepas bedah siasat selesai dijalankan,” katanya.
Bekas pengetua sekolah, Hafizi Shafi’in, merupakan saksi ketiga yang dipanggil memberi keterangan hari ini.
Foong berkata Hafizi memberi keterangan bahawa beliau terserempak dengan remaja itu di kawasan tandas selepas dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Hafizi didakwa melihat remaja itu keluar dari tandas dengan memakai sarung tangan hitam sambil memegang sebilah pisau.
Suspek didakwa sebuat perkataan “bunuh”
Menurut Foong, Hafizi mendakwa remaja itu menyebut perkataan “bunuh” ketika berjalan ke arahnya sebelum menuju ke arah bilik darjah ketika suasana menjadi kecoh.
Foong berkata pihak pembelaan mencabar keterangan Hafizi dengan berhujah bahawa remaja itu tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan perkataan tersebut mungkin disebut oleh individu lain ketika keadaan huru-hara.
“Saya mencadangkan kepada beliau bahawa beliau mungkin terdengar orang lain menyebut perkataan itu dalam suasana panik dan kelam-kabut, lalu tersalah anggap bahawa ia diucapkan oleh remaja tersebut.
“Kami berpendapat perkara itu tidak berlaku, namun terpulang kepada mahkamah untuk membuat penentuan,” katanya.
Perbicaraan akan disambung esok.
Mengikut pertuduhan, remaja lelaki itu didakwa membunuh rakan sekolahnya di tandas perempuan SMK Bandar Utama Damansara (4), Bandar Utama, Petaling Jaya, antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober tahun lalu.
Pertuduhan memperuntukkan hukuman mati, atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, serta 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Bagaimanapun, di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap seseorang yang merupakan kanak-kanak pada masa kesalahan itu dilakukan.
Sebaliknya, Seksyen 97(2) memperuntukkan bahawa seseorang yang disabitkan atas kesalahan sedemikian hendaklah ditahan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika kesalahan itu dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, atau selama diperkenankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri jika kesalahan itu dilakukan di sesebuah negeri.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Ahmad Iqbal Azman.
Sementara itu, peguam Datuk Yasmeen Shariff dan Jason Lim Jie Sheng masing-masing hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak Majlis Peguam Malaysia dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)




