SUNGAI SIPUT: “Susah nak bercakap… tak boleh…”
Itu luahan sayu Joe Zamberi, 23, anak kepada Zamberi Angah, yang maut dipercayai dibaham harimau belang ketika mencari hasil hutan di Kampung Takung, Pos Perwor, di sini, semalam.
Joe yang masih terkesan dengan kejadian itu berkata, dia bersama bapanya keluar mencari rotan di kawasan Hutan Simpan Korbu jam 8 pagi sebelum mengambil keputusan untuk pulang jam 3 petang.
Menurutnya, ketika dalam perjalanan pulang, dia berjalan di hadapan manakala bapanya berada di belakang sebelum terdengar jeritan mangsa.
“Saya dengar bapa menjerit, saya terus pusing belakang dan jerit. Selepas itu dia (harimau) tarik bapa.
“Ketika itu, saya sangat takut dan terus berlari memanggil orang kampung,” katanya mengakui sukar meluahkan perasaan ketika kejadian.
Joe juga tidak dapat meneruskan perbualan kerana terlalu sebak ketika ditanya mengenai hubungan dengan bapanya, dan mengakui hubungan mereka rapat.
Terdahulu, mayat Zamberi ditemukan jam 6.58 petang semalam di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak, kira-kira 200 meter dari lokasi dipercayai berlaku serangan haiwan liar itu.
Operasi pencarian membabitkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), polis, RELA, penduduk kampung dan pekerja pembalakan.




