MELAKA, 22 SEPT ( Berita Harian) – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebentar tadi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa esok bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Ab Rauf berkata, beliau sudah menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam bagi memaklumkan kedudukan DUN, seterusnya memohon perkenan untuk pembubaran.
“Tuan Yang Terutama Tun berkenan supaya DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa esok, 23 September 2026. Dengan pembubaran ini, maka berakhirlah penggal Dewan Undangan Negeri Melaka.
“Proses seterusnya akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang serta ketetapan pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya pada sidang media khas, sebentar tadi.
Ketua Menteri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka atas perkenan serta kebijaksanaan dalam melaksanakan fungsi sebagaimana yang diperuntukkan.
Beliau berkata, Speaker DUN Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum telah menyerahkan notis pembubaran berkenaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.
SPR dijangka bermesyuarat selepas ini bagi menetapkan tarikh writ pilihan raya, penamaan calon dan hari pengundian mengikut peruntukan undang-undang bagi PRN Melaka ke-16
Untuk rekod, DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 21 dimenangi BN pada PRN lalu, manakala lima dimenangi PH dan dua Perikatan Nasional (PN).
PRN Melaka ke-15 diadakan pada 20 November 2021 selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong kerajaan, menarik sokongan terhadap kepimpinan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober 2021.




