NIBONG TEBAL, 5 OGOS ( Berita Harian) – Seorang peniaga minuman melecur 50 peratus di seluruh anggota badan selepas rumahnya miliknya dijilat api sehingga menyebabkan sebuah tong gas meletup di Lorong Bakap Permai 9, Sungai Bakap di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd Shukor Fadzil, berkata mangsa, Tan Chin Long, 58, ditemui berada dalam keadaan panik dan bersembunyi di bawah meja makan ketika pihaknya tiba di lokasi pada jam 2.51 petang.
“Mangsa difahamkan tinggal di rumah itu seorang diri dan dia tidak pernah berkahwin. Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca dari bilik tidur dan kemungkinan bahang api itu menyebabkan tong gas yang berada di dapur meletup.
“Setakat ini tiada kesan menunjukkan mangsa sedang memasak ketika kejadian itu berlaku dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita.
Mohd Shukor berkata, rumah teres kelas A tersebut dianggarkan musnah kira-kira 50 peratus manakala rumah jirannya di sebelah kiri mengalami kerosakan sekitar 10 peratus kerana dinding pemisah berjaya menghalang api daripada merebak dengan pantas.
Katanya, meskipun berdepan cabaran pergerakan akibat longgokan pelbagai barang dan perabot yang terlampau banyak dalam rumah pihak bomba berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya dalam tempoh sembilan minit sahaja.
“Kami difahamkan, jiran yang tinggal di bahagian belakang yang ternampak api menyambar di kawasan dapur turut membantu memadam kebakaran sementara menunggu bomba tiba tetapi tidak berjaya sebelum mereka dikejutkan dengan bunyi letupan tong gas,” katanya.
Sementara itu, jiran selang sebuah dari rumah mangsa, N Karnagaran , 59, berkata ketika kejadian dia bersama isteri dan seorang anaknya sedang menonton televisyen sebelum mereka dikejutkan dengan bunyi letupan yang terlalu kuat sebanyak dua kali sehingga menyebabkan kediamannya terasa bergegar.
“Letupan itu sangat kuat kami ingatkan bunyi bom macam dekat sangat dengan rumah saya. Saya sudah cari dan kumpulkan dokumen penting dan sudah bersiap keluarkan kereta dan lega apabila dapat tahu bomba sudah dapat mengawal kebakaran,” kata pemandu kren itu.




