BENGALURU, 6 OGOS (Reuters) – Harga emas meningkat bagi sesi keempat berturut-turut pada Khamis dan mencecah paras tertinggi dalam tempoh tujuh minggu, disokong kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS), penurunan hasil bon Perbendaharaan serta harapan pembukaan semula Selat Hormuz.
Harga emas semerta meningkat 0.5 peratus kepada AS$4,265.22 seauns (RM560.18 segram) pada jam 3.30 pagi GMT selepas menyentuh paras tertinggi sejak 18 Jun.
Pada Rabu, logam berharga berkenaan mencatatkan kenaikan harian terbesar sejak Februari.
Niaga hadapan emas AS turut meningkat 0.5 peratus kepada AS$4,324.60 seauns, bersamaan kira-kira RM567.98 segram.
Penganalisis Pasaran IG, Tony Sycamore, berkata kenaikan mendadak itu didorong peningkatan keyakinan bahawa satu kejayaan diplomatik di Asia Barat semakin hampir untuk dimuktamadkan.
“Kenaikan mendadak itu berlaku susulan peningkatan keyakinan bahawa satu kejayaan diplomatik di Asia Barat semakin hampir untuk dimuktamadkan.
“Keadaan ini dijangka terus memberi tekanan menurun terhadap harga minyak dan mengurangkan keperluan bank pusat menaikkan kadar faedah, sekali gus memberikan sokongan jelas kepada emas,” katanya.
Sycamore berkata, kenaikan kukuh melepasi purata pergerakan 200 hari boleh membuka ruang kepada pemulihan lebih besar menuju paras AS$5,000 seauns (RM656.69 segram).
Cadangan perjanjian antara Iran dan Oman bagi membantu menamatkan konflik selama lima bulan antara Iran dan AS dilaporkan akan memberi Tehran kawalan terhadap kapal yang memasuki Teluk menerusi Selat Hormuz.
Seorang sumber kanan Iran dan dua pegawai serantau memaklumkan perkara itu kepada Reuters.
Harga emas semerta merosot 19 peratus sejak konflik AS-Iran bermula pada 28 Februari, berikutan kebimbangan inflasi yang didorong kenaikan harga tenaga akan menyebabkan kadar faedah meningkat.
Emas lazimnya mencatatkan prestasi lebih baik dalam persekitaran kadar faedah rendah kerana aset berkenaan tidak memberikan pulangan faedah.
Jangkaan pasaran terhadap kenaikan kadar faedah AS pada September menurun kepada 55 peratus daripada 67 peratus dua hari sebelumnya.
Hasil bon penanda aras AS bagi tempoh 10 tahun turut menurun, manakala Indeks Dolar AS berada di bawah tekanan.
Dolar AS yang lebih lemah menjadikan komoditi dalam denominasi mata wang berkenaan lebih murah kepada pemegang mata wang lain.
Pelabur kini menunggu laporan pekerjaan bukan ladang AS bagi Julai yang dijadualkan diumumkan pada Jumaat.
Laporan pekerjaan nasional ADP sebelum ini menunjukkan pertumbuhan pekerjaan sektor swasta AS perlahan pada Julai.
Dalam kalangan logam lain, harga perak semerta turun 0.1 peratus kepada AS$62.02 seauns, bersamaan kira-kira RM8.15 segram.
Platinum meningkat 1.2 peratus kepada AS$1,755.18 seauns atau kira-kira RM230.52 segram selepas mencecah paras tertinggi sejak Jun.
Paladium pula meningkat 0.8 peratus kepada AS$1,374.33 seauns, bersamaan kira-kira RM180.50 segram, sekali gus mencatatkan kenaikan bagi sesi ketiga berturut-turut.




