TOKYO, 24 JUN – Penyertaan lima usahawan di bawah Program Gate to Global (GTG) Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada Japan International Food & Beverages Expo 2026 (JFEX 2026) menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila produk yang dipamerkan berjaya menarik minat pengimport dan pengedar dari pelbagai negara.
Reruai MARA yang ditempatkan di zon JFEX Inbound, iaitu kluster pameran yang menampilkan produk bernilai tinggi untuk pasaran antarabangsa dan tempatan, mengetengahkan pelbagai produk dalam kategori sedia dimakan (ready-to-eat) dan sedia dibawa (ready-to-go).
Produk tersebut dilihat bertepatan dengan keperluan serta gaya hidup pengguna masa kini yang mengutamakan kemudahan dan kepraktisan.
JFEX 2026 yang berlangsung dari 24 hingga 26 Jun itu merupakan pameran perdagangan perniagaan ke perniagaan (B2B) yang menghimpunkan pengeluar, pengimport dan pengedar makanan serta minuman dari seluruh dunia.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2020, pameran yang dianjurkan dua kali setahun itu terus berkembang sebagai platform penting dalam industri makanan dan minuman antarabangsa.
Bagi edisi kali ini, JFEX 2026 merekodkan penyertaan lebih 600 pempamer dari 55 negara serta dijangka menerima kehadiran kira-kira 25,000 pengunjung.
Penganjur turut menjangkakan lebih 3,500 padanan perniagaan dapat diwujudkan sepanjang pameran berlangsung.
Lima usahawan GTG MARA yang mewakili Malaysia dalam pameran tersebut ialah Samz Holding Sdn. Bhd., Syarikat Jutaan Purnama Sdn. Bhd., Joeyees Trading Sdn. Bhd., Nims Adeliciousz Sdn. Bhd. dan Nutrivera Manufacturing Sdn. Bhd.
Penyertaan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif MARA untuk memperluaskan akses pasaran antarabangsa kepada usahawan Bumiputera menerusi Program Gate to Global (GTG). Usaha itu turut bertepatan dengan sambutan 60 Tahun MARA yang terus komited memperkasa pembangunan serta meningkatkan daya saing usahawan negara di peringkat global.




