KUALA LUMPUR, 24 Jun – Seramai 160 usahawan dari Wilayah Persekutuan, Selangor serta usahawan bimbingan KETENGAH menyertai Program Halal BizStart Siri Zon Tengah 2026 yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, hari ini.
Program anjuran MARA menerusi Bahagian Pembangunan Usahawan itu bertujuan memperluaskan pendedahan kepada usahawan Bumiputera mengenai Pensijilan Halal Malaysia, keperluan pematuhan halal serta peluang pengembangan perniagaan dalam ekosistem halal yang semakin berkembang.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah MARA, Encik Zahari Aziz. Turut hadir ialah Setiausaha Bahagian Usahawan Desa, Puan Fariza Azura Mohd Husain, Pengarah MARA Negeri Selangor, Encik Mohd Halmishahril Ahmad Jamir dan Pengarah MARA Negeri Wilayah Persekutuan, Tuan Syed Saifuddin Syed Ahmad.
Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian berkaitan prosedur Pensijilan Halal Malaysia dan Sistem Kawalan Halal Dalaman sebagai persediaan kepada usahawan yang berhasrat mendapatkan pensijilan halal bagi produk serta perkhidmatan mereka.
Program turut menampilkan sesi perkongsian industri oleh Nestlé Malaysia yang disampaikan oleh Head of Halal Affairs syarikat itu, Encik Nasrul Hadi Mohamed Nor. Sesi tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai amalan terbaik serta pengalaman industri dalam pelaksanaan dan pengurusan halal.
Selain itu, Klinik Usahawan yang diadakan sepanjang program mendapat penyertaan pelbagai agensi dan institusi termasuk MARA, Maybank Islamic Berhad, HDC, Glocal Link Sdn. Bhd. dan TVETMARA Lenggong. Inisiatif itu menyediakan khidmat nasihat serta panduan secara terus kepada usahawan berkaitan pensijilan halal, pembiayaan dan pembangunan perniagaan.
Penganjuran Halal BizStart Siri Zon Tengah 2026 diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai usahawan untuk melangkah ke arah pensijilan halal sekali gus meningkatkan daya saing perniagaan dalam pasaran yang semakin kompetitif.
Bersempena sambutan 60 Tahun MARA, pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen berterusan agensi itu dalam memperkasa pembangunan usahawan Bumiputera agar lebih berdaya tahan, berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan industri semasa.




