KUALA LUMPUR, 13 OKT ( Bernama) – Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-44 daripada 117 pusat kewangan dunia dalam Indeks Pusat Kewangan Global edisi ke-40 (GFCI 40).
Labuan IBFC berkata, pencapaian itu menandakan peningkatan kedudukan bagi tiga edisi indeks berturut-turut, iaitu daripada tangga ke-60 kepada ke-55 dan kini ke-44.
“Kedudukan terkini itu mencerminkan peningkatan berterusan Labuan IBFC dalam tiga edisi indeks berturut-turut,” menurut kenyataan itu.
Labuan IBFC turut beralih daripada kategori Pesaing Antarabangsa kepada Pusat Khusus, mencerminkan pengiktirafan terhadap kekuatannya dalam beberapa bidang utama.
Ia merangkumi insurans kaptif, kewangan Islam, perkhidmatan kewangan digital dan pengurusan kekayaan.
Perkembangan itu mengukuhkan peranan Labuan IBFC dalam ekosistem kewangan Malaysia, disokong penawaran perkhidmatan kewangan khusus dan rangka kerja kawal selia yang kukuh.
Kedudukannya sebagai bidang kuasa bagi urusan perniagaan dan pelaburan rentas sempadan turut menyumbang kepada pencapaian berkenaan.
“Indeks itu menilai daya saing pusat kewangan di seluruh dunia serta menekankan faktor yang mempengaruhi landskap perkhidmatan kewangan global,” menurut kenyataan itu.
Pembangunan Labuan IBFC sebagai bidang kuasa kewangan disokong penambahbaikan kawal selia secara berterusan, inisiatif untuk menggalakkan inovasi industri dan komitmen terhadap piawaian pematuhan antarabangsa.
Prestasinya pada 2025 juga seiring pencapaian positif Malaysia dalam Penilaian Bersama Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF), yang mengiktiraf sumbangan Labuan IBFC terhadap penilaian keseluruhan negara.
“Berikutan perniagaan semakin berdepan dengan keperluan rentas sempadan yang kompleks serta keperluan kewangan yang terus berubah, Labuan IBFC terus memperteguhkan dan membangunkan penyelesaian merentasi sektor utamanya,” menurutnya.
Keupayaan itu melengkapi ekosistem perkhidmatan kewangan Malaysia yang lebih luas, selain membolehkan perniagaan dan pelabur meneroka peluang pada peringkat serantau serta global.
Labuan IBFC berkata, kedudukan terkini itu adalah pencapaian penting ketika pusat kewangan berkenaan terus memanfaatkan kekuatan sedia ada dan memenuhi keperluan pasaran antarabangsa yang sentiasa berubah.
Kerjasama berterusan dengan pemain industri dan pihak berkepentingan lain akan kekal penting bagi mengekalkan daya saing Labuan IBFC serta menyokong pembangunan jangka panjangnya.




