KUALA LUMPUR, 28 OGOS ( Bernama) – IJM Corporation Bhd mengumumkan persaraan Pengerusi Bukan Eksekutifnya, Tan Sri Krishnan Tan daripada lembaga pengarah berkuat kuasa hari ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, IJM Corp memaklumkan Tan, 73, dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif pada 29 Ogos 2019, selepas menyertai lembaga pengarah sebagai pengarah gantian pada 12 Jun 1984, dan kemudiannya berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi Bukan Eksekutif.
Beliau pernah menjawat beberapa jawatan kanan di IJM Corp, termasuk Pengarah Urusan Kumpulan dari 1997 hingga 2004, serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan dari 2004 hingga 2010.
“Tan juga merupakan Pengarah Bebas HSBC Bank Malaysia Bhd dari 2014 hingga 2017 dan pengerusi dari 2017 hingga 2022,” tambahnya.
Menurut kumpulan itu, Tan memegang 10.73 juta saham secara langsung dan 1.12 juta saham secara tidak langsung dalam IJM Corp.




