KUALA LUMPUR, 28 OGOS ( Berita Harian) – Seorang lelaki maut selepas terjatuh bangunan kondominium di Desa Parkcity, Persiaran Residen, di sini petang, semalam, manakala isterinya dan dua anak ditemui maut dalam unit kediaman berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata polis menerima laporan kejadian itu jam 3.32 petang.
Beliau berkata, mangsa lelaki berusia 48 tahun itu dipercayai terjatuh dari bangunan berkenaan.
“Polis kemudian ke rumah mangsa dan dengan bantuan pihak bomba berjaya membuka pintu unit berkenaan.
“Polis menemui tiga individu yang meninggal dunia dalam bilik berasingan,” katanya kepada media hari ini.
Fadil berkata, mangsa terdiri daripada wanita berusia 47 tahun yang juga isteri kepada lelaki berkenaan, selain dua kanak-kanak iaitu perempuan berusia sembilan tahun dan lelaki berusia tujuh tahun.
Katanya, ketiga-tiga mangsa didapati cedera parah pada bahagian leher.
“Polis turut menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.




