KUALA LUMPUR, 18 JULAI – Pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sebanyak kira-kira RM200 juta dalam syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery, menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan proses penelitian wajar dan tadbir urus pelaburan dana awam.
Walaupun kerajaan memaklumkan KWAP menjadi mangsa penipuan melalui dakwaan manipulasi laporan kewangan syarikat itu, orang ramai berhak mengetahui bagaimana risiko berkenaan gagal dikesan lebih awal. Pelaburan melibatkan dana persaraan sepatutnya melalui semakan menyeluruh, termasuk penilaian risiko, pengesahan maklumat dan tadbir urus syarikat.
Kes itu mencetuskan kebimbangan terhadap kelemahan sistem kawalan dan tatakelola institusi, sekali gus menuntut siasatan bebas, telus dan menyeluruh bagi mengenal pasti sama ada wujud kecuaian, kelemahan prosedur atau pelanggaran tadbir urus.
Sekiranya siasatan mendapati berlaku salah guna kuasa, penyelewengan atau kecuaian yang menyebabkan kerugian kepada dana persaraan negara, tindakan undang-undang perlu diambil tanpa mengira kedudukan pihak terbabit bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang.




