KUALA LUMPUR, 18 JULAI – MBSB Bank Bhd (MBSB Bank) menjalin kerjasama strategik dengan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi di Koridor Utara.
Melalui kerjasama itu, MBSB Bank menyediakan komitmen pembiayaan berjumlah RM1 bilion serta penyediaan penyelesaian kewangan Islam yang komprehensif.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef, berkata kerjasama itu juga mengukuhkan komitmen MBSB Bank dalam menyokong pertumbuhan perniagaan, pelabur dan projek pembangunan strategik di NCER menerusi akses yang lebih luas kepada pembiayaan serta penyelesaian perbankan bernilai tambah.
Beliau berkata, NCER yang merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak kini muncul sebagai antara wilayah ekonomi yang berkembang paling pesat di Malaysia dengan menarik pelaburan domestik dan asing yang signifikan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), pembuatan termaju, logistik, agroperniagaan, ekonomi digital serta pelbagai industri bernilai tinggi lain.
Katanya, disokong oleh infrastruktur moden, taman perindustrian dan pelbagai inisiatif kerajaan, wilayah itu menawarkan peluang besar kepada perniagaan di sepanjang rantaian nilai ekonomi.
“Seiring dengan perkembangan pesatnya, MBSB Bank terus memperkukuh peranan sebagai rakan kewangan strategik dengan menyediakan penyelesaian pembiayaan yang membolehkan perniagaan berkembang, berinovasi dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBSB Bank dan NCER di sini, hari ini.
Rafe berkata, kerjasama itu turut menyediakan platform yang lebih tersusun kepada kedua-dua organisasi mengenal pasti dan meneroka peluang strategik, memperkukuh hubungan dengan pihak berkepentingan serta meningkatkan tadbir urus, selaras dengan agenda kerajaan untuk mempercepatkan pelaburan dan pertumbuhan ekonomi mampan di Koridor Utara.
“Koridor Utara terus menjadi destinasi utama bagi pelaburan bernilai tinggi serta menawarkan peluang besar kepada perniagaan dalam sektor rel, automotif, E&E, aeroangkasa serta pembuatan untuk terus berkembang.
“Menerusi komitmen pembiayaan RM1 bilion ini dan kerjasama dengan NCER, kami komited menyediakan penyelesaian pembiayaan dan perbankan yang membolehkan perniagaan berkembang dengan lebih yakin serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi rantau ini dalam jangka masa panjang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Mohamad Haris Kader Sultan, berkata pihaknya akan terus menerajui pembangunan taman perindustrian tematik utama NCER termasuk Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) di Perlis, Kedah Rubber City (KRC) dan Taman Sains & Teknologi Kedah (KSTP) di Kedah.
Beliau berkata, ekosistem perindustrian khusus itu dibangunkan bagi menarik industri bernilai tinggi, memperkukuh rantaian bekalan serantau, merangsang pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, di samping menyediakan saluran projek yang berpotensi mendapat manfaat daripada kerjasama pembiayaan strategik.
“Kerjasama strategik ini akan memperkukuh ekosistem yang menyokong sektor pertumbuhan utama NCER, termasuk E&E, pembuatan termaju, agromakanan, logistik, ekonomi digital dan teknologi hijau,” katanya




