MACHANG — “Saya benar-benar tidak menyangka 5,000 biji Melon Manis Machang (3M) yang diusahakan habis terjual dalam tempoh tidak sampai 48 jam,” kata usahawan tani, Wan Azwa Wan Ismail.
Kejayaan luar biasa itu diraih selepas beliau memperkenalkan konsep “Pick and Pay” (Petik dan Bayar) di ladang fertigasi moden miliknya seluas 2.5 ekar yang terletak di Kampung Gelong Gajah, di sini, baru-baru ini.
Menurut Wan Azwa, idea kreatif tersebut diinspirasikan daripada aktiviti memetik buah strawberi di Cameron Highlands.
Katanya, strategi ini bukan sahaja memberikan pulangan yang baik , malah terbukti menjadi platform yang sangat berkesan dalam mempopularkan jenama 3M ke peringkat yang lebih tinggi.
Beliau turut berkongsi keistimewaan buah gred komersial tersebut yang memiliki tahap kemanisan tinggi antara 14 hingga 18 brix serta tekstur yang sangat rangup, kualiti yang disifatkan setanding dengan produk-produk import.
Melalui unjuran hasil satu musim yang mampu mencecah sehingga 6,750 kilogram, projek ini membuktikan potensi besar pertanian moden dalam menjana nilai jualan kasar yang tinggi.
Keberhasilan di peringkat ladang ini turut mendapat sokongan penuh daripada Ketua Jajahan Machang, Mohd Zamri Ibrahim, yang memanfaatkan impak ekonomi produk 3M untuk “menjual” dan menaikkan nama Jajahan Machang sebagai hab agropelancongan baharu.
Satu perjanjian jual beli komersial juga telah dimeterai bagi menyasarkan pengeluaran melon premium secara konsisten untuk pasaran tempatan dan luar negeri, sekaligus membuka ruang kepada lebih ramai golongan belia tempatan menceburi sektor agromakanan.

Keberhasilan tinggi di peringkat ladang ini turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Ketika berucap pada program tuaian hasil projek tersebut, beliau menegaskan bahawa projek Melon Manis Machang mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai produk premium negeri Kelantan sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pertanian moden.
“Dengan penggunaan sistem fertigasi moden, projek ini mampu menghasilkan buah berkualiti tinggi yang mempunyai tahap kemanisan antara 14 hingga 18 brix.
“Projek dengan kapasiti sebanyak 5,000 polibeg itu dijangka mampu menghasilkan sehingga 6,750 kilogram buah bagi satu musim dengan anggaran nilai jualan kasar sekitar RM81,000 bagi tempoh matang tanaman kira-kira tiga bulan,” katanya.
Bagi menjamin masa hadapan sektor agromakanan, Mohamed Fadzli turut menyeru masyarakat supaya mencontohi usaha ini dengan memanfaatkan tanah pertanian yang masih terbiar demi memastikan keterjaminan makanan negara sekiranya berlaku krisis makanan dunia.
Beliau juga menekankan gabungan slogan kerajaan negeri ‘Bertani Satu Ibadat’ dan kempen kerajaan Persekutuan ‘Bertani Adalah Perniagaan’ yang mampu memberi manfaat dunia dan akhirat kepada rakyat yang terlibat.




