KUALA LUMPUR, 2 OKT ( Berita Harian) – Syarikat teknologi Malaysia, Zetrix AI yang sebelum ini dikenali sebagai MyEG, dipercayai berhutang lebih RM200 juta dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan kutipan pembaharuan cukai jalan, lesen memandu dan saman trafik.
The Straits Times (ST) hari ini melaporkan, dokumen rasmi yang dilihat akhbar Singapura itu menunjukkan Zetrix gagal menyerahkan kutipan berkenaan sejak permulaan kontrak tiga tahun dengan JPJ pada Mei 2023.
Memetik seorang pegawai kerajaan yang enggan dikenali, ST melaporkan jumlah tertunggak sehingga akhir September lalu melebihi RM200 juta.
“Sehingga akhir September, jumlah tertunggak jauh melebihi RM200 juta,” kata pegawai berkenaan seperti dipetik ST.
Menurut laporan itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) kini mempertimbangkan langkah seterusnya bagi memastikan sistem pembayaran digital lebih dipercayai, selain mendapatkan semula wang yang masih tertunggak.
“Kementerian Pengangkutan mahu memastikan sistem pembayaran digital yang lebih dipercayai diwujudkan, namun pada masa sama, wang yang masih terhutang perlu dibayar sepenuhnya,” dakwa pegawai berkenaan.
Menurut ST, Zetrix yang sebelum ini dikenali sebagai MyEG menyediakan perkhidmatan transaksi kerajaan secara dalam talian selepas pertama kali dilantik pada 2000, termasuk bagi urusan JPJ dan Jabatan Imigresen.
Laporan itu menyebut kontrak Zetrix dengan JPJ tamat pada Mei lalu, dan pengguna kini boleh memilih sama ada menggunakan MyEG atau saluran digital milik JPJ.
ST turut melaporkan syarikat berkenaan kini berdepan tekanan kewangan dengan jumlah pinjaman meningkat kepada RM2.2 bilion berbanding RM160 juta, lima tahun lalu.
Hutang bersihnya selepas mengambil kira tunai dan setara tunai dilaporkan berjumlah RM1.65 bilion, berbanding RM71 juta pada 2021.
Menurut laporan sama, permodalan pasaran Zetrix susut kepada lebih RM1.2 bilion ketika ini berbanding melebihi RM6 bilion pada awal tahun ini.
Harga sahamnya ditutup pada 16.5 sen semalam, susut kira-kira 80 peratus sejak awal tahun.
ST melaporkan kejatuhan mendadak itu didorong terutama oleh panggilan margin terhadap saham yang dicagarkan sebagai jaminan pembiayaan.
Susulan itu, Pengarah Urusan yang juga pemegang saham terbesar Zetrix, Wong Thean Soon, dilaporkan terpaksa melepaskan hampir dua pertiga daripada pegangan 29 peratus miliknya sejak 27 Ogos lalu.
ST melaporkan Zetrix belum memberikan maklum balas terhadap permintaan akhbar itu untuk mendapatkan komen ketika laporan berkenaan diterbitkan.



