WOLFSBURG, 10 JULAI (Reuters) – Volkswagen merancang untuk mengurangkan secara drastik barisan model kenderaannya serta terus mengecilkan kapasiti pengeluaran apabila pengeluar kereta terbesar Eropah itu mempertimbangkan rombakan besar-besaran yang menurut sumber boleh menyebabkan kira-kira 100,000 pekerja kehilangan pekerjaan.
Volkswagen kini berdepan tekanan luar biasa untuk menyusun semula model perniagaan yang menjadi asas kejayaannya sejak beberapa dekad lalu, ketika syarikat bergelut dengan kos operasi yang tinggi serta lebihan kapasiti pengeluaran di Jerman.
Faktor itu, ditambah dengan persaingan yang semakin sengit daripada pengeluar China, peraturan yang lebih ketat serta tarif import kereta Amerika Syarikat (AS), menyebabkan margin keuntungan syarikat susut hampir separuh antara 2021 hingga 2025.
Syarikat itu berkata selepas mesyuarat lembaga penyelia bahawa rangkaian model kenderaannya akan dikurangkan secara berperingkat sehingga 50 peratus bagi memberi tumpuan kepada segmen pasaran yang lebih menguntungkan.
Kapasiti pengeluaran tahunan pula akan dikurangkan kepada sembilan juta kenderaan, berbanding 10 juta unit ketika ini.
“Keadaan global terus merosot sepanjang tempoh 12 bulan lalu. Sebab itu kami perlu bertindak sekarang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Volkswagen, Oliver Blume.
Sumber sebelum ini berkata Blume sedang mempertimbangkan penutupan empat kilang di Jerman iaitu di Hanover, Emden, Zwickau dan kilang Audi di Neckarsulm, selain mengurangkan sehingga 100,000 pekerjaan, iaitu kira-kira dua kali ganda daripada jumlah yang dirancang sebelum ini.
Langkah itu bakal menjadi penstrukturan semula terbesar dalam sejarah Volkswagen.
Bagaimanapun, Volkswagen semalam tidak memperincikan laporan mengenai kemungkinan pengurangan tenaga kerja dan penutupan kilang yang menurut sumber mencetuskan bantahan besar-besaran pekerja di beberapa lokasi syarikat.
Kemungkinan penutupan kilang dan pengurangan besar-besaran pekerjaan di salah sebuah syarikat paling bersejarah di Jerman yang ditubuhkan sejak 89 tahun lalu menggambarkan cabaran besar yang sedang dihadapi ekonomi terbesar Eropah itu, ketika negara berdepan pertumbuhan ekonomi yang lemah serta kos buruh dan tenaga yang tinggi.
Volkswagen turut memaklumkan bahawa kerumitan dalam penawaran produknya, termasuk jumlah pilihan spesifikasi dan kelengkapan, akan dikurangkan sehingga 75 peratus.
Pada mesyuarat lembaga penyelia di ibu pejabat Volkswagen di Wolfsburg, Blume turut berdepan wakil pekerja yang berpengaruh dalam lembaga itu, yang menentang cadangan pengurangan lebih besar di seluruh kumpulan termasuk jenama Audi dan Porsche.
Beliau juga berada di bawah tekanan daripada keluarga pemilik Porsche dan Piech, yang menyaksikan nilai pelaburan utama mereka susut berpuluh-puluh bilion euro dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Saham Volkswagen sendiri telah kehilangan lebih separuh daripada nilainya dalam tempoh tiga tahun lalu.
Lembaga penyelia Volkswagen dianggotai wakil keluarga pemilik, kesatuan sekerja dan kerajaan negeri Lower Saxony, satu struktur perkongsian kuasa yang sering menyukarkan proses membuat keputusan.
Di bawah pelan penstrukturan semula terdahulu yang diketuai Blume, kesatuan sekerja berjaya mendapatkan komitmen pengurusan untuk tidak menutup kilang di Jerman.
Susulan itu, Volkswagen mencari kegunaan alternatif bagi kilang yang kurang digunakan.
Usaha tersebut termasuk mencari rakan kongsi daripada sektor pertahanan bagi kilang di Osnabrueck serta mempertimbangkan pengeluaran model yang direka khusus untuk pasaran China di Jerman.
Data Mobility Global yang diperoleh Reuters menganggarkan kilang pemasangan Volkswagen di Jerman akan beroperasi pada 81 peratus daripada kapasiti standard pada 2026.
Angka itu dijangka merosot kepada 73 peratus menjelang penghujung dekad ini, walaupun selepas kilang Osnabrueck dijangka dikeluarkan daripada rangkaian pengeluaran.
Dalam kalangan empat kilang yang berdepan ancaman penutupan, kilang Zwickau dijangka mencatat kadar penggunaan tertinggi pada 2026 iaitu 88 peratus, namun angka itu diramalkan menjunam kepada hanya 42 peratus menjelang 2030.
Canselor Jerman daripada parti konservatif, Friedrich Merz, yang ketika ini ketinggalan dalam tinjauan pendapat kepada parti sayap kanan Alternative for Germany (AfD), telah berjanji melaksanakan beberapa pembaharuan bagi meningkatkan daya saing ekonomi Jerman.
AfD, yang berpotensi membentuk kerajaan negeri buat pertama kali dalam pilihan raya pada September ini, turut menjadikan kemelut Volkswagen sebagai modal untuk mengkritik kerajaan.




