SUBANG JAYA,10 JULAI (Berita Harian) – PROTON terus memperkukuh kehadiran kenderaan elektrik (EV) di peringkat antarabangsa menerusi pelancaran Proton e.MAS 5 di Singapura, sekali gus memperluaskan barisan model Proton e.MAS di republik itu dan mengukuhkan momentum pengembangan eksport syarikat.
Model yang diperkenalkan oleh pengedar PROTON di Singapura, VINCAR Group itu menjadi model kedua dalam keluarga Proton e.MAS selepas pelancaran Proton e.MAS 7 tahun lalu, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam strategi pengembangan serantau pengeluar kereta nasional berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton International Corporation, Edmund Lim Meng Thong, berkata pengembangan barisan model Proton e.MAS di Singapura membuktikan komitmen PROTON untuk terus memperkukuhkan perjalanan eksportnya, di samping mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap produk automotif Malaysia di pasaran antarabangsa.
Beliau berkata, pengenalan Proton e.MAS 5 susulan sambutan menggalakkan terhadap Proton e.MAS 7 mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat untuk terus meningkatkan jumlah eksport bagi mencapai sasaran yang ditetapkan
Katanya, langkah itu turut mengukuhkan kedudukan PROTON sebagai jenama yang menawarkan gabungan teknologi canggih, ciri keselamatan serta nilai terbaik kepada pelanggan serantau, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk meluaskan pasaran syarikat.
“Singapura adalah antara pasaran automotif paling kompetitif di Asia Tenggara dan menjadi platform penting bagi jenama automotif yang ingin mengukuhkan kehadiran di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Meng Thong berkata, kejayaan memperluaskan rangkaian Proton e.MAS di negara berkenaan membuktikan keupayaan PROTON yang semakin kukuh untuk bersaing dalam pasaran yang mempunyai pengguna berpengetahuan tinggi serta ekosistem EV yang matang.
Katanya, pelancaran Proton e.MAS 5 turut menyerlahkan peranan jenama Proton e.MAS yang semakin penting dalam keseluruhan perniagaan PROTON apabila bukan sahaja menyokong peralihan Malaysia ke arah mobiliti rendah karbon, malah menjadi pemacu utama strategi pertumbuhan antarabangsa syarikat.
“Matlamat PROTON bukan sekadar mengeksport kenderaan. Kami sedang membina perniagaan serantau yang mampan berteraskan kerjasama strategik yang kukuh, pengalaman pemilikan pelanggan yang cemerlang serta produk yang memenuhi keperluan mobiliti setiap pasaran,” katanya.
Beliau berkata, setiap pasaran baharu yang diterokai PROTON akan terus mengukuhkan jenama itu di peringkat antarabangsa, selain menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai pemain yang diiktiraf dalam industri mobiliti masa hadapan.
Kehadiran Proton e.MAS 5 di Singapura turut meneruskan kejayaan model berkenaan di peringkat global apabila bersama model kembarannya daripada Geely telah mencatat jualan terkumpul melebihi 610,000 unit di seluruh dunia, sekali gus mencerminkan penerimaan positif dalam pelbagai pasaran.
Pada masa sama, Proton e.MAS 5 juga merupakan model EV paling laris di Malaysia, sekali gus membuktikan keupayaan PROTON memanfaatkan platform bertaraf global yang telah terbukti sambil memperluaskan kehadiran produk automotif Malaysia ke pasaran eksport serantau.
Selain menawarkan produk yang berdaya saing, pembeli Proton e.MAS 5 di Singapura turut menikmati pelbagai manfaat pemilikan termasuk kredit pengecasan, manfaat pemilikan bernilai S$5,000 (RM15,747.10), pembiayaan tanpa bayaran pendahuluan, jaminan bateri selama 10 tahun, jaminan rentas sempadan serta perkhidmatan perayauan data Malaysia-Singapura secara percuma.
Proton e.MAS 5 dilancarkan dengan harga S$158,988 (RM501,000) di Singapura.




